Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Remaja Maut Ditetak Enam Lelaki, Dituduh Mencuri Padahal Tengah Cari Kucing

Seorang remaja berusia 16 tahun dilaporkan telah maut ditetak oleh enam orang penduduk di Tarumajaya, Kabupaten Bekasi selepas dituduh mencuri dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.

Memetik laporan Detik News, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak bernyawa dan berlumuran darah.

Ketua Polis Tarumajaya, AKP Edy Supriyanto berkata bahawa mangsa telah didakwa mencuri di sebuah rumah. Difahamkan, para suspek yang sedang melepak di sebuah kafe menjerit “pencuri” ke arah mangsa dan mengejarnya.

“Mangsa budak yang baik, beberapa orang penduduk telah menuduhnya mencuri ketika dia menunggang motosikal.

“Ini bukan satu perbuatan pecah rumah kerana tiada satu pun barang yang hilang,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek yang memberi keterangan kepada pihak polis berkata bahawa dia menyangka mangsa telah mencuri besi.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati mangsa sebenarnya berada di lokasi kejadian untuk mencari kucingnya yang hilang.

“Dia dituduh mencuri besi, padahal dia cari kucing,” ujar Edy.

Sementara itu, berdasarkan keterangan saksi, terdapat enam orang pelaku yang telah membawa senjata tajam dan menetak mangsa.

Mangsa dan pelaku dilihat bertengkar di tempat kejadian dan selepas itu mangsa telah dikejar. Dia seterusnya melarikan diri dengan menunggang motosikal tetapi suspek telah menetak kepala mangsa sehingga membuatkannya terjatuh.

“Mangsa sempat terkena libasan senjata tajam itu di kepala dan terjatuh tidak lebih 25 meter dari lokasi,” katanya.

Penganiayaan terhadap mangsa berterusan apabila dia telah ditetak di bahu sehingga terluka. Melihat keadaan mangsa yang terbaring lemah, suspek terus melarikan diri.

Setakat ini, empat orang suspek telah ditahan dan dua orang masih lagi sedang diburu. Kedua-dua suspek itu melarikan diri selepas mengetahui bahawa rakan mereka telah ditangkap.

Dalam pada itu, empat orang suspek yang ditahan akan didakwa mengikut Perkara 170 Kanun Jenayah berkaitan pukul.

Sumber: Detik News

Sofea

There's always another side to every story