Siakap Keli

(Video) Guna Keluli & Tanah Liat, Sekumpulan Lelaki Berjaya ‘Cipta’ Kereta Bugatti Sendiri

Setiap orang pastinya mempunyai impian untuk membeli kereta idaman yang mewah dan mahal, namun tidak semua dikurniakan harta yang melimpah ruah. Ada yang hanya terpaksa menyimpan angan-angan dan perlu bekerja keras untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, nampaknya ia bukanlah sesuatu yang sukar buat sekumpulan peminat kereta di Vietnam ini apabila mereka dilaporkan telah membina kereta  Bugatti sendiri di kediaman mereka.

Memetik laporan Daily Mail, rakaman yang tular di media sosial menunjukkan mereka membina replika kereta Bugatti Chiron menggunakan rangka keluli dan tanah liat.

Difahamkan, mereka yang terdiri daripada pakar seramik dan jurutera telah memulakan projek itu sejak awal tahun lalu. Menariknya, kereta itu turut dilengkapkan dengan sistem lampu LED, enjin dan mempunyai rekaan dalaman serta luaran yang kelihatan seperti kereta sebenar.

Video yang dimuatnaik di saluran YouTube NHET TV itu juga telah menggunakan gentian kaca seperti lumpur di atas tanah liat sebelum mengeluarkan semua tanah liat dari dalam.

Apabila kereta itu mula terbentuk, mereka membuat rangka keluli dengan enjin kecil untuk menjana kuasa kereta dan mengujinya di jalan raya.

Selepas berbulan-bulan memberi perhatian teliti terhadap perincian, kumpulan itu mengecat kereta dengan menggunakan gabungan warna hitam dan biru.

“Kami menghabiskan satu tahun untuk membina kereta ini. Impian kami untuk memiliki kereta super Bugatti Chiron ini dapat direalisasikan dengan cara kami, lelaki yang tidak mempunyai banyak wang.

“Ini adalah video yang meringkaskan proses itu.

“Akan ada peningkatan pada kereta itu dalam masa terdekat. Harap kami dapat sokongan anda di seluruh dunia, kami akan cuba cipta lebih banyak lagi.

“Kami budak kampung miskin yang mempunyai impian besar,” kata mereka menerusi video itu.

Sehingga kini, video mereka yang dimuatnaik pada minggu lalu telah mendapat sebanyak 8.3 juta tontonan di Youtube.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story