Siakap Keli
Gambar: Hello Doktor

Takut Nak Mandi, Ikut 6 Tip Mandi Dengan Betul Ini Agar Ekzema Tak Melarat

Memang menjadi satu kewajipan selepas pulang dari bekerja seharian kita akan membersihkan diri, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang mandi selepas keluar merupakan satu kewajipan.

Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya perkara yang kita rasa seronok dan senang dilakukan ini adalah satu perkara yang sukar untuk mereka yang memiliki masalah kulit?

Seperti penghidap ekzema, mereka akan terdedah kepada pelbagai penyakit serta jangkitan jika mereka mandi dengan cara yang tidak betul. Mandi merupakan satu mimpi ngeri kepada mereka lebih-lebih lagi yang memiliki masalah ekzema yang teruk.

Oleh itu, melalui laman Hello Doktor, sebuah perkongsian berkenaan 6 cara mandi yang betul bagi pesakit ekzema telah dikongsikan.

Gatalnya Badan… Ikut 6 Tip Mandi Dengan Betul Ini Agar Ekzema Tak Melarat!

Mengapa mandi penting untuk penghidap ekzema?

Kredit: Hello Doktor

 

Menurut National Eczema Association, amalan mandi mempunyai kebaikannya yang tersendiri untuk penghidap ekzema.

Melalui amalan ini, penghidap ekzema boleh memastikan kulit mereka sentiasa lembap. Malah, air juga dapat membuang segala kekotoran serta alergen yang melekat pada kulit.

Walau bagaimanapun, penghidap ekzema tidak boleh mandi terlalu lama. Jika tidak, segala kelembapan pada kulit akan berkurangan dan ini boleh menyebabkan pesakit mengalami iritasi.

Sebab itulah, penghidap ekzema digalakkan untuk mandi menggunakan air suam. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menyental badan secara kasar.

Selepas mandi, pesakit ekzema perlulah menyapu pelembap secepat mungkin untuk ‘mengunci’ kelembapan pada kulit.

Jangan lupa, kulit kering merupakan musuh ketat penghidap ekzema.

Asalkan pesakit mengikut segala tip mandian untuk kulit ekzema ini, kulit mereka akan kekal sihat dan lebih fleksibel. Malah, simptom seperti kegatalan dan kulit bersisik juga dapat dielakkan.

6 tip mandian untuk kulit ekzema

Tidak ada cara yang betul atau salah untuk penghidap ekzema mandi.

Namun, ada beberapa langkah yang mungkin dapat mengurangkan iritasi dan menjauhkan pesakit ekzema daripada simptom yang tidak diingini.

Di bawah, kami kongsikan 6 tip mandian daripada pakar khas untuk pesakit ekzema:

1. Basuh badan dengan tangan

 

Suka gunakan berus atau bola mandian ketika mandi? Jika anda menghidap ekzema, inilah masanya untuk berhenti dan gunakan sesuatu yang lebih mudah – tangan anda!

Tetapi, sebelum itu, pastikan anda basuh tangan terlebih dahulu sebelum mandi.

Sebenarnya, tangan kita lebih lembut dan bersih berbanding berus atau bola mandian.

Malah, penggunaan alatan mandian seperti loofah, span atau berus juga akan melukakan badan dan menyebabkan iritasi.

Ketika mencuci muka, elakkan menggunakan kapas. Penggunaan kapas boleh membuatkan wajah jadi semakin gatal disebabkan teksturnya yang kasar.

Jika boleh, gunakan pencuci muka yang lembut dan lap menggunakan kertas tisu atau air suam.

2. Gunakan produk bebas sabun untuk elak ekzema

Produk yang mengandungi sabun boleh menjadi sangat kasar jika digunakan oleh pesakit ekzema. Tambah lagi, kulit pesakit ekzema sudah sedia rapuh dan sensitif.

Oleh sebab itu, produk bebas sabun adalah pilihan yang terbaik untuk pesakit ekzema.

Ia dapat melindungi permukaan kulit serta tidak terlalu kasar sehingga boleh menyebabkan kecederaan.

Sabun selalunya mempunyai pH di sekitar 10 yang jauh lebih tinggi daripada pH kulit iaitu 5.5. Bagi penghidap ekzema, sabun yang terbaik seharusnya mempunyai pH yang paling hampir dengan pH kulit.

Tip mandian untuk kulit ekzema 3. Cari produk yang bebas pewangi

Elakkan pemakaian produk yang mengandungi pewangi.

Sama jugalah dengan produk mandian yang mengandungi minyak pati. Ramai yang lupa bahawa minyak pati juga mengandungi wangian.

4. Elakkan mandi dengan air yang terlalu panas

Bagi penghidap ekzema, elakkan mandi dengan air yang terlalu panas. Gunakan air suam atau air sejuk ketika mandi.

Suhu yang terlalu panas boleh membuatkan kulit menjadi lebih kering daripada biasa. Kulit yang terlalu kering juga lebih mudah terluka dan mengalami jangkitan.

Pakar mencadangkan agar penghidap ekzema mandi menggunakan air di dalam julat suhu 27 hingga 30 darjah selsius.

5. Jangan berendam dalam air terlalu lama

Kredit: Hello Doktor

 

Tahukah anda, bekalan air di rumah kita juga mempunyai klorin? Kadangkala, air mandian juga mengandungi kapur yang digunakan sebagai rawatan air.

Kedua-dua bahan ini amat berbahaya terhadap penghidap dermatitis atopik. Klorin boleh membuatkan kulit menjadi gatal-gatal manakala kapur pula mengeringkan kulit.

Oleh sebab itu, elakkan berendam di dalam air terlalu lama. Salah satu tip mandian untuk kulit ekzema ialah mandi selama 5 hingga 10 minit setiap hari.

6. Lap badan dengan lembut

Jangan sesekali lap air pada badan menggunakan tuala yang kasar. Serap air dengan cara menekapkan tuala pada kulit dengan perlahan-lahan untuk mengelakkan kegatalan.

Selain itu, jangan biarkan badan kering dengan sendirinya. Amalan ini hanya akan membuatkan kulit menjadi semakin kering. Selepas mandi, terus sapukan pelembap untuk kunci lembapan pada kulit.

Zahirah