Siakap Keli

Tergelincir Masa ‘Tolong’ Gali Perigi, Ini Kronologi Tragedi Pilu Yang Menimpa Haidar

Peristiwa yang menimpa kanak-kanak dari Afghanistan dikenali sebagai Haidar sempat mendapat liputan antarabangsa, setelah kanak-kanak itu dilaporkan terperangkap di dalam perigi Selasa lalu.

Selepas hari keempat usaha menyelamatkan dijalankan, operasi membawa keluar Haidar menemui titik kejayaan namun dia dilaporkan meninggal dunia selepas dikeluarkan daripada perigi tersebut.

Ikuti kronologi tragedi yang menimpa Haidar sejak hari pertama kejadian.

Tergelincir ketika bantu gali perigi

Menurut NDTV, Haidar yang berusia 5 tahun dikatakan tergelincir sebelum terperangkap di dalam perigi buta sedalam 25 meter.

Kejadian itu dilaporkan terjadi di sebuah perkampungan kering di wilayah Zabul, kira-kira 400 kilometer (km) di barat daya ibu kota Kabul pada tengah hari, 15 Februari 2022.

Datuk kepada Haidar yang dikenali sebagai Haji Abdul Hadi memberitahu bahawa kanak-kanak itu terjatuh ketika dia cuba membantu golongan dewasa menggali lubang perigi baru di perkampungan mereka.

Memetik kenyataan para petugas, Haidar awalnya terjatuh ke dasar perigi dan berjaya ditarik dengan tali. Namun kanak kanak itu tersekat pada jarak kedalaman 10 meter dari mulut perigi.

Gambar via Twitter

Bantuan dihantar

Pada hari kedua, pasukan medik dilengkapi ambulans, bantuan oksigen dan keperluan-keperluan lain dihantar ke lokasi kejadian seperti yang dimaklumkan Setiausaha Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Azzam melalui laman Twitter.

Gambar: Twitter Abdullah Azzam
Gambar: Twitter Abdullah Azzam

Kanak-kanak itu masih dalam keadaan kesihatan yang baik dan hanya sekali-sekala meminta bantuan makanan serta minuman.

Pasukan keselamatan berusaha menurunkan makanan dan minuman kepada Haidar bagi memastikan dia terus bertahan.

Lampu dan kamera turut diturunkan ke dalam perigi untuk memantau keadaan Haidar dari semasa ke semasa. Kanak-kanak itu juga sempat bercakap dengan ayahnya yang cuba menenangkan si anak dari terus menangis.

Sementara itu, sekumpulan jurutera sedang berusaha untuk sampai ke lokasi Haidar dengan menggali dari sisi perigi menggunakan jentolak.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran

Walaupun sebahagian kawasan perigi berjaya digali, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi Haidar.

Sebuah batu besar dikatakan menghalang laluan pada beberapa meter terakhir. Para petugas cuba memecahkan batu tersebut secara manual menggunakan kapak.

Gambar: Twitter Abdullah Azzam

Misi menyelamat berada di tahap akhir

Selepas lebih 50 jam Haidar terperangkap, Menteri Pertahanan Afghanistan, Mawlavi Mohammad Yaqoub bersama bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Abdul Bari Omar tiba di tempat kejadian untuk memantau proses mengeluarkan Haidar yang berada di tahap akhir.

Ketika itu, Haidar sudah hampir dikeluarkan malah tangisan kanak-kanak itu sudah dapat didengari oleh para petugas.

Namun di saat Haidar sudah kelihatan dan hanya tinggal setengah meter lagi untuk dikeluarkan, Gabernor mengarahkan agar Haidar tidak ditarik keluar begitu saja kerana kawasan sekeliling yang tidak selamat.

Keadaan perigi yang berbatu tidak memungkinkan untuk Haidar ditarik tanpa cedera. Sehingga jam 2 pagi waktu tempatan, kerja-kerja menggali masih dijalankan sambil dipantau Menteri Pertahanan.

Ketika pasukan penyelamat berada pada jarak beberapa sentimeter lagi dari lokasi Haidar, kanak-kanak itu dilaporkan tidak lagi mampu menggerakkan tangannya.

Dua buah helikopter telah bersedia di sana untuk membawa Haidar ke ibu kota Kabul sejurus kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan.

Beberapa jam selepas itu, Haidar berjaya dikeluarkan. Namun, penantian cemas berakhir dengan berita yang memilukan.

Haidar disahkan meninggal dunia

Jurucakap polis Zabul, Zabiullah Jawhar berkata Haidar sudah berada dalam keadaan tenat apabila pasukan penyelamat menariknya keluar.

”Dalam minit pertama selepas operasi menyelamat selesai, dia bernafas dan pasukan perubatan memberinya oksigen.

”Apabila pasukan perubatan cuba membawanya ke helikopter, Haidar kehilangan nyawanya,” kata beliau.

Menurut Abdullah, pihak kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak itu namun Haidar ditakdirkan untuk bertemu sang pencipta pada tanggal 18 Februari 2022.

Kejadian menimpa Haidar ini berlaku kira-kira dua minggu selepas tragedi sama menimpa Rayan Awram, kanak-kanak lima tahun yang terjatuh dalam perigi berkedalaman 32 meter di Maghribi.

Walau bagaimanapun, ia turut berakhir dengan tragedi yang memilukan apabila Rayan meninggal dunia pada 6 Februari lalu, selepas diselamatkan pada hari kelima dia terperangkap.

Sumber: NDTV, Abdullah Azzam, ‌Bismellah Pashtonml

Eyla Azri