Siakap Keli

Betul Ke Petis Diperbuat Daripada Otak Udang? Teknologis Makanan Ni Dedah Perkara Sebenar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Di Malaysia, terdapat banyak tempat makan yang menjadi tumpuan mereka yang ‘kaki’ makan. Hingga  ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk makan, tambahan pula jika tempat itu viral dan diberi pujian yang melambung.

Utara Malaysia pula adalah salah satu tumpuan ‘pemburu makanan’ kerana di sana memang kaya dengan pelbagai juadah warisan, antaranya Laksa Utara. Laksa di sana juga ada pelbagai jenis seperti laksa ikan seekor, laksa telur sarang dan macam-macam lagi.

Namun, perasan atau tidak, ‘benda’ wajib yang perlu ada dalam setiap hidangan laksa dari utara ini semestinya otak udang ataupun petis. Pendek kata, tak lengkap hidangan tanpanya.

Tapi pernah tak terfikir, betul ke ‘otak udang’ ini memang diperbuat daripada otak udang sebenar atau terdapat bahan utama lain?

Menjawab persoalan ini, berikut kami sertakan perkongsian dari Ahli Teknologi Makanan, Sazly Tulih (gambar) yang menjelaskan hal ini dengan lebih terperinci.

Ikuti perkongsian di bawah, semoga bermanfaat.

Proses dan kandungan dalam ‘otak udang’

Kalau makan laksa utara, tak syok kalau tak makan bersama otak udang. Kalau tak ada otak udang ni, tak masyuk bila makan laksa utara ni.

Tahukah anda, otak udang atau dipanggil juga petis ini bukanlah dihasilkan dengan ramuannya otak udang semata-mata. Dah jadi macam cerita Puteri Gunung Ledang pula, yang nak kan hantaran hati nyamuk.

Mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan 169 menyatakan tentang standard otak udang ini. Otak udang hendaklah hasil ikan yang diperolehi dari udang melalui pengekstrakan dan hendaklah dalam keadaan pekat.

Ia boleh mengandungi makanan lain. Ia tidak boleh mengandungi lebih daripada 26% air.

Otak udang juga boleh mengandungi bahan pengawet yang dibenarkan, karamel sebagai bahan pewarna dan penambah perisa yang dibenarkan.

Selain itu, kilang pemprosesan otak udang juga perlu mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bagi memastikan makanan yang diproses adalah bersih dan selamat untuk dimakan.

Walau bagaimanapun, tiada lagi bukti saintifik yang menyatakan dengan memakan otak udang ini menyebabkan orang yang memakannya menjadi “Otak Udang”.

Sumber: Facebook Sazly Tulih

Faiz Mustafa