Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Banjir Terengganu: Lima Sekeluarga Panjat Bumbung Rumah Selamatkan Diri

HULU TERENGGANU, 27 Feb (Bernama) — Lima sekeluarga di Kampung Lubuk Pait berhampiran Sekayu di sini terpaksa memanjat siling dan bumbung rumah untuk menyelamatkan diri setelah banjir naik mendadak pagi ini.

Mohd Saiful Azuar Mohd Amin, 30, ketika dihubungi Bernama berkata beliau bersama isterinya yang sedang sarat mengandung kini masih menunggu bantuan pasukan penyelamat untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya risau sebab bateri telefon hampir habis. Kami berlima (termasuk ibu bapa dan seorang adik) dah tak ada tempat berlindung dan hanya bertawakal sahaja naik ke bumbung dan berharap kami dapat diselamatkan secepat mungkin.

“Saya minta pertolongan adik, Nor Hafizah Mohd Amin untuk kongsikan nasib kami ke dalam media sosial sebagai ikhtiar untuk mendapat bantuan segera,” katanya yang sudah berada di bumbung itu hampir sejam dalam keadaan sejuk.

Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Mohd Khairul Azhar Rashid, 35, berkata beliau yang berada di Kuala Lumpur kerana urusan peribadi terpaksa bergegas balik ke Hulu Terengganu sebaik sahaja mendengar maklumat mengenai banjir itu daripada adiknya.

“Ramai keluarga saya di Kampung Lubuk Pait dan semuanya gagal dihubungi ketika ini. Saya banyak terima kiriman gambar dan video daripada kawan sekampung dan ini kali pertama air naik begitu tinggi sehingga ada yang perlu naik ke bumbung rumah.

“Difahamkan, pasukan penyelamat masih belum boleh masuk ke kampung kerana banyak jalan yang terputus hubungan dan arus pula terlalu kuat turut membahayakan nyawa mereka. Harapan saya agar tiada perkara buruk yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata situasi agak kritikal ketika ini kerana laluan masuk ke Kampung Lubuk Pait tidak boleh dilalui dan beliau masih menunggu bantuan pasukan penyelamat berserta kemudahan logistik yang lain.

“Saya pun masih terkandas di sini dan sedang membantu menyelamatkan mangsa di kawasan sekitar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story