Siakap Keli

(Video) Puluhan Orang Awam Dilapor Terbunuh, Bandar Kharkiv Didakwa ‘Dihujani’ Roket Rusia

Rusia telah didakwa melancarkan serangan roket bertubi-tubi ke atas kawasan kejiranan di bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, pada Isnin, lapor  The New York Times.

Pegawai Ukraine berkata puluhan orang awam telah terbunuh dalam kejadian tersebut.

“Kharkiv telah terkena serangan besar-besaran,” kata seorang penasihat kepada menteri dalam negeri Ukraine, Anton Gerashchenko.

Sementara itu, video yang disiarkan ke Telegram pada Isnin menunjukkan serangan roket yang dahsyat berlaku di kawasan kejiranan tersebut.

Rakaman lain pula menunjukkan roket telah tersangkut di dalam tanah di jalan berhampiran sebuah farmasi dan kedai bekalan kecantikan. Beberapa orang dilihat terkorban di kawasan yang sama.

Memetik laporan The New York Times, tentera Rusia yang berada di sekitar perimeter Kharkiv di timur Ukraine telah membedil kawasan terpencil di situ selama beberapa hari, tetapi sebahagian besarnya telah dihalang oleh tentera Ukraine.

Pengeboman yang berlaku pada Isnin juga merupakan susulan daripada percubaan tentera Rusia untuk memasuki bandar itu.

Sumber: The New York Times

Sofea

There's always another side to every story