Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rusia Sedia Bekerjasama Bangunkan Pusat Pelancaran Roket Di Sarawak

ROKET
Kredit: Facebook UKAS

Rusia menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan industri aeroangkasa, termasuk berkongsi kepakaran bagi membangunkan kemudahan pelancaran roket dan penghasilan satelit.

Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, Sarawak mempunyai lokasi strategik yang berpotensi untuk pembangunan pusat pelancaran roket, namun usaha itu memerlukan infrastruktur sokongan, kepakaran teknikal dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran.

Menurutnya, kerjasama berkenaan bukan sekadar melibatkan teknologi pelancaran roket, sebaliknya turut membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam pembangunan kemudahan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, Selasa.

Latypov berkata, Rusia turut bersedia meneroka kerjasama dalam pembangunan dan penghasilan satelit bersama institusi pengajian tinggi di Sarawak.

Katanya, pengalaman terdahulu membangunkan dua satelit bersama institusi pengajian tinggi Malaysia yang dilancarkan menggunakan roket Rusia boleh dijadikan asas untuk meneroka kerjasama serupa di Sarawak.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat tempatan, beliau berkata, kerjasama itu juga berpotensi diperluas kepada Universiti i CATs, khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan aeroangkasa.

Menurutnya, Rusia bersedia menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara itu, selain meneroka hubungan kerjasama antara Universiti i CATs dengan Moscow Aviation Institute.

Beliau berkata, Rusia sebelum ini mempunyai pengalaman bekerjasama dengan UniKL MIAT dan berharap hubungan seumpama itu dapat diperluas kepada institusi pendidikan lain di Malaysia.

Selain aeroangkasa, Latypov berkata, kedua dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor tenaga, khususnya hidroelektrik, solar dan biojisim.

Menurutnya, Rusia berminat mempelajari pengalaman Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh baharu, manakala Sarawak berpeluang memanfaatkan kepakaran Rusia dalam pembinaan loji hidroelektrik berskala besar dan kecil.

Dalam sektor pertanian, katanya, Rusia turut menyatakan minat terhadap kepakaran Sarawak dalam bidang veterinar, penghasilan makanan dan ubat ubatan haiwan serta teknologi penanaman padi.

Kerjasama berkenaan juga berpotensi melibatkan petani, pusat penyelidikan dan pemain industri dari kedua dua pihak.

Latypov berkata, industri pembinaan kapal turut dikenal pasti sebagai satu lagi bidang yang berpotensi diteroka, susulan minat Rusia untuk memanfaatkan pengalaman dan keupayaan industri berkenaan di Sarawak.

Bagi memastikan cadangan itu dapat diterjemahkan kepada tindakan, beliau berkata, perbincangan lanjut antara pakar dari kedua dua pihak perlu diadakan bagi mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan dalam sektor aeroangkasa, tenaga, pertanian dan pembinaan kapal.

Beliau turut menjemput Premier Sarawak atau delegasi kerajaan negeri menyertai beberapa forum ekonomi dan industri di Rusia, termasuk Forum Rusia Dunia Islam di Kazan, pameran industri Innoprom dan Forum Antarabangsa Perbandaran yang dijadual berlangsung pada penghujung November.

Menurutnya, pertemuan susulan itu penting untuk mengenal pasti langkah pelaksanaan yang praktikal, termasuk melalui penglibatan institusi penyelidikan, universiti dan sektor swasta.

Intipati
  • Rusia bersedia bekerjasama dengan Sarawak membangunkan kemudahan pelancaran roket dan penghasilan satelit.
  • Latypov berkata Sarawak berpotensi strategik, tetapi memerlukan infrastruktur, kepakaran teknikal dan tenaga mahir.
  • Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama tenaga, pertanian, pembinaan kapal dan pendidikan aeroangkasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan