Siakap Keli

Ini Cara Nak Menyucikan Dividen Simpanan Konvensional KWSP

Selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengumumkan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah hari ini, mungkin ada yang tertanya-tanya macam mana nak menyucikan dividen KWSP Simpanan Konvensional KWSP kan?

Tapi sebelum itu, mari imbas kembali berapa banyak dividen yang diagihkan. Menurut KWSP, dividen bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak 6.10 peratus. Manakala bagi Simpanan Shariah pula adalah sebanyak 5.65 peratus.

Dari segi agihan dividen pula, sebanyak RM 50.45 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM 6.27 bilion untuk Simpanan Shariah.

Berhubung persoalan macam mana nak menyucikan dividen Simpanan Konvensional, jawapannya telah disediakan oleh pihak KWSP sendiri. Penyucian ini boleh dibuat melalui penyaluran kepada 3 perkara tersebut.

Pertama, adalah dengan memberikan secara langsung kepada pihak yang memerlukan bantuan kewangan, terutamanya ahli keluarga terdekat yang tidak berkemampuan, selain daripada ibu bapa, isteri dan anak-anak (tanggungan wajib).

Kedua, boleh disalurkan sebagai kegunaan kos pembinaan/penyediaan kemudahan awam sama ada melalui Baitulmal di Majlis Agama Islam negeri atau persatuan/pertubuhan yang berdaftar sebagai badan kebajikan.

Ketiga dan terakhir, anda juga boleh menyucikan dividen Simpanan Konvensional dengan mengagihkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bantuan fakir miskin, bencana alam, kos perubatan dan penjagaan kesihatan atau kos pendidikan.

Tiada maklumat yang dikongsikan mengenai kadar penyucian dividen bagi 2021 ini. Bagaimanapun, untuk tahun 2020, KWSP menetapkan kadar penyucian adalah 69 peratus daripada jumlah yang dikreditkan sebagai dividen.

Jadi, sama-sama kita tunggu pengumuman KWSP mengenai kadar penyucian bagi 2021.

BACA: Had Pengeluaran Online myASNB Dinaikkan Ke RM 2000 Sebulan

Sumber: KWSP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.