Siakap Keli
Gambar : Daily Mail

Disahkan Mengandung Lagi Selepas Hamil 5 Hari, Wanita Dilapor Lahir Bayi Bukan Kembar Serentak

Fenomena yang jarang berlaku apabila seorang wanita mendedahkan dirinya hamil lagi walaupun pada ketika itu sudah mengandung, lapor Daily Mail.

Apa yang menakjubkan adalah kedua-dua bayinya memiliki wajah yang serupa seperti kembar walaupun secara teknikalnya mereka bukan kembar dan dikandungkan selang lima hari sahaja.

Pasangan suami isteri dari California ini meluahkan rasa kegembiraannya selepas mendapati bahawa mereka hamil lagi pada November 2020 walaupun baru sahaja mengalami keguguran.

Lebih menakjubkan, mereka mendapati bahawa mereka mengandungkan dua bayi yang dikandung pada waktu yang berbeza semasa melakukan ujian imbasan pertama.

Gambar : Daily Mail

Menurut Daily Mail, fenomena ini dikatakan jarang berlaku dan dikenali sebagai superfetasi di mana kehamilan kedua yang boleh berlaku hanya beberapa hari atau minggu selepas kehamilan pertama.

Katanya, ia merupakan satu keajaiban apabila kedua-dua bayi lahir dan mengaku bahawa dia dan suaminya sering tertukar kerana mirip.

Dia juga berkata ramai yang menganggap bayinya adalah kembar kerana memiliki wajah yang mirip dan dia hanya mengiyakan sahaja.

“Kadang-kadang saya dan suami akan tertukar. Pernah sekali suami mengambil masa sejam untuk mengecam dan memanggil nama lain, padahal yang dipegangnya ialah bayi yang lain. Saya hanya ketawa sahaja.”

Tambahnya lagi, semasa melakukan imbasan pertama, doktor menjumpai satu lagi degupan jantung dan memberitahunya bayi kedua dikandungkan selang lima hari.

Pasangan suami isteri itu dikatakan berkahwin pada tahun 2020 dan pernah mengalami keguguran pada Julai 2020.

Gambar : Daily Mail

Kedua-dua bayi tersebut dilahirkan pada 10 Ogos 2021 ketika usia 40 minggu dan dua hari sebelum seorang lagi berusia 40 minggu.

“Ia adalah saat yang indah apabila dapat memegang mereka. Tidak dapat digambarkan perasaan pada ketika itu.”

Superfetasi merupakan keadaan yang jarang berlaku apabila seorang wanita hamil anak lain semasa sudah hamil.

Fenomena ini terjadi apabila telur disenyawakan oleh sperma dan tertanam buat kali kedua hanya beberapa hari atau minggu selepas proses yang sama berlaku pada kali pertama.

Hanya beberapa kes pernah dilaporkan dalam literatur perubatan, iaitu di United Kingdom, Itali dan Kanada.

Sumber : Daily Mail

Fathin Nadzira