Siakap Keli

Dari Media Sosial Ke Pentas Berprestij, Kejayaan Wanita Ini Cetus Inspirasi Ramai 

Syarikat yang berasaskan kecantikan halal dan premium iaitu Noir Health & Beauty Sdn Bhd telah melangkah bergaya dalam menjadi penaja utama penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke 36 malam ini yang dipancarkan secara langsung di TV3.

Penajaan itu telah menjadi penanda aras baru untuk jenama berkenaan terutama bagi pengasasnya sendiri iaitu Eriyca Baiduri atau Madammu yang selama ini begitu ‘mesra’ di media sosial menerusi sesi lintas langsung atau ‘live’ diadakan.

Madammu tunjang kekuatan Noir

Terkenal dengan celoteh loghat Pantai Timurnya, wanita kepada tiga cahaya mata itu konsisten membuat ‘live’ di media sosial bagi mengukuhkan jenama termasuk sudah membantu puluhan ribu wanita menjana pendapatan dengan berniaga.

Kesungguhan dan dedikasi wanita lulusan Diploma dalam Penjagaan Diri dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di sebuah universiti tempatan ini mencetuskan inspirasi ramai menerusi jenama produk Noir apabila ribuan menonton ‘live’ dibuatnya.

“Sesuatu yang tak pernah saya bayangkan bagi syarikat kecil seperti kami menjadi penaja program hiburan yang mengangkat karya ciptaan anak tempatan. 2022 mencatat sejarah peribadi buat saya dan syarikat. Saya sendiri anak kelahiran Terengganu yang mahu terus berjaya serta membantu anak tempatan menjana pendapatan.

” Minat saya mengadakan ‘live’ di Facebook (FB) dari rumah sendiri bertitik tolak kepada semangat berkongsi tips kecantikan. Kadang-kadang celoteh saya ‘merebak’ kepada topik lain hinggalah memasak serta gaya hidup. Kalau saya memasak sambil berceloteh pun ramai masuk ‘live’ di FB untuk menontonnya.

Madammu tak lepas peluang bergambar dengan pengunjung di Amanjaya Sentral, Sungai Petani bersempena dengan siri Jelajah NOIR AJL36 baru-baru ini

“Seiring dengan kualiti produk dihasilkan daripada bahan premium, halal, selamat dan semula jadi, saya timbulkan kepercayaan ramai terhadap jenama sekali gus menarik pembeli berpotensi. Produk Noir Beauty Essense antara yang laris macam goreng pisang panas dan mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Menurutnya, sebagai jenama yang dimiliki 100 peratus bumiputera dan beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, penajaan bagi acara itu dilihat tepat bagi terus memperkenal dan menyebarluas kewujudan rangkaian produk dimiliki.

“Tambah pula acara itu ditonton seisi keluarga termasuk golongan wanita yang bergelar suri rumah. Ia antara program hiburan yang ditunggu-tunggu di Malaysia. Golongan suri rumah itu sendiri khalayak sasaran kami.

“Peluang sebegini bukan datang selalu. Tentunya penajaan ini menjadi ruang terbaik mengetengahkan jenama kami sebagai jenama dipercayai ramai. Ini umpama permulaan atau batu loncatan kepada kami untuk menembusi pasaran antarabangsa. Tambah pula acara itu juga boleh distrim di seluruh pelusuk dunia.

“Besar harapan saya juga untuk melihat jenama ini juga disenaraikan di dalam bursa saham. Begitu juga untuk tawaran awam permulaan (IPO) terbitan saham baru. Impian ini antara sasaran paling utama yang mahu dicapai dan dipermudahkan,” katanya.

Penonton AJL36 dan orang ramai yang menyaksikan acara gemilang itu malam ini akan turut disajikan dengan slot peraduan dan hadiah istimewa.

Aqmal Ezany

I write what is right