Rumah dengan harga lelong merupakan salah satu pilihan terbaik untuk dijadikan aset kepada seseorang. Pada kebiasannya, harga rumah lelong lebih murah daripada pasaran rumah baru, jadi tidak hairanlah kalau ramai yang berminat untuk beli rumah lelong.
Tapi, tidak boleh dinafikan mengenai risiko pembelian rumah tersebut. Sebagai contoh, bagaimana jika pemilik lama enggan untuk keluar dari rumah tersebut?
Oleh itu, suka untuk Siakap Keli kongsikan hak anda sebagai pemilik baru hasil pembelian rumah yang telah dilelong. Perkongsian dari seorang peguam hartanah melalui akaun Facebooknya, Syazwan Mohd Jafri (gambar) akan menjawab permasalahan ini.
Ikuti perkongsian di bawah, semoga anda dapat manfaat dari perkongsian ini.
BERJAYA BELI RUMAH LELONG.. GEMBIRANYAA! TAPI PENING PEMILIK LAMA BERKERAS TAKNAK KELUAR RUMAH (Ketahui hak anda sebagai pemilik baru)
Dalam keadaan pasaran rumah sekarang (harga mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah orang), pilihan lain adalah pembelian melalui jualan LELONG.
Namun antara ISU BIASA yang timbul, apabila pemilik lama enggan keluar dari rumah tersebut. Nak halau sendiri, risau dilawan semula. Ada yang sampai berparang demi “mempertahankan” rumah mereka. Jadi apa hak anda? Perkongsian ringkas hari ini.
HAK ANDA SEBAGAI PEMBELI RUMAH LELONG
Pembeli rumah lelong, mempunyaI masa 120 hari (ikut Proclamation of Sale) untuk selesaikan baki hutang. Selagi baki tidak diselesaikan, rumah tidak akan boleh dipindahmilik. Peringkat ini, Pembeli hanya lah mempunyai hak benefisiari bukan hak berdaftar lagi.
HAK PEMILIK ASAL/PEMILIK LAMA
Selagi mana rumah belum dipindahmilik kepada pembeli baru, Pemilik asal masih boleh mendiami rumah tersebut. Pada peringkat ini, Pemilik asal mempunyai hak dikenali sebagai bare trustee. Mudahnya, pemilik lama seolah memegang rumah sebagai amanah kepada pemilik baru.
WRIT PEMILIKAN – REMEDI BAGI PEMILIK BARU DAPATKAN MILIKAN RUMAH
Writ Pemilikan adalah jalan terbaik sekiranya pemilik asal enggan keluar selepas pindahmilik selesai. Writ Pemilikan mudahnya, adalah suatu tindakan di mahkamah bagi mendapatkan milikan rumah tersebut. Benar, perlu keluarkan kos, tapi anda dapat elak dari situasi bergaduh/bertengkar bersama pemilik asal.
Ringkasan prosesnya adalah:
1. Peguam failkan Writ Pemilikan
2. Mahkamah Keluarkan Perintah
3. Bailif (dengan pihak berkuasa jika perlu) pergi ke rumah untuk kosongkan.
INFO TAMBAHAN
- Pemilik asal yang melanggar perintah Writ Pemilikan, boleh ditangkap dan diambil tindakan hina mahkamah.
- Segala barang-barang boleh alih adalah kepunyaan Pemilik asal dan salah jika kita rosakkan/buang/simpan.
KESIMPULAN
Isu ini mungkin tidak dialami oleh semua orang, tapi bagi yang melaluinya, tahu peritnya. Perkongsian kali ini adalah untuk memberikan penjelasan kepada hak masing-masing supaya harapnya, pergaduhan boleh dielakkan.
Sumber: Facebook Syazwan Mohd Jafri