Siakap Keli
Hilangkan tahi lalat pada pakaian dan fabrik dengan berkesan
Gambar via Facebook

Cara Hilangkan Tahi Lalat Pada Pakaian, 5 Cara Ini Buat Kain Nampak Baru

Mesti ramai daripada kita mempunyai masalah untuk hilangkan kesan tahi lalat pada pakaian walau dah gunakan pelbagai cara.

Tak dinafikan, ramai yang ‘sakit’ mata bila tengok kesan tahi lalat ni. Maka rata-rata daripada kita lebih memilih untuk membuang pakaian atau fabrik yang tersebut.

Tapi kalau korang nak tahu, ada cara hilangkan tahi lalat pada pakaian atau fabrik dengan berkesan seperti yang dikongsikan oleh laman Facebook Pesan Bonda ini.

Tak sangka bahan-bahan yang diperlukan ni ada yang korang boleh dapatkan dekat dapur dan cara-caranya sangat mudah untuk dipraktikkan. Nak tahu macam mana, ikuti perkongsian Pesan Bonda di bawah.

1. Cuka

Cuka adalah bahan semulajadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang kurang menyenangkan. Ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi.

Caranya, campurkan satu cawan cuka putih ke dalam satu baldi air dan rendamkan selama sekurang-kurangnya sejam. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci atau detergen. Gunakan air yang sedikit hangat semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan.

Jika ingin digunakan pada fabrik lain seperti sofa atau langsir, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian gosokkan dengan berus yang sesuai dan bilas seperti biasa dengan sabun detergen.

2. Baking soda

Gambar hiasan via Google

Selain menggunakan cuka, anda boleh menggunakan baking soda sebagai salah satu cara menghilangkan tahi lalat pada pakaian. Ianya efektif untuk digunakan dalam bentuk pes atau secara terus. Seperti cuka, ia juga boleh menyerap bauan yang keluar daripada kulat.

Cara pertama adalah dengan membuat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat. Biarkan seketika dan kemudian beruskan seperti biasa.

Jika kulat masih belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda tersebut. Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesis kulat yang berbeza. Melalui pemerhatian, cara ini adalah yang paling berkesan dan digemari oleh ramai ibu-ibu!

3. Jus lemon dan garam

Gambar hiasan via Google

Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes.

Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh merendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama satu jam. Selepas itu, bilaskan seperti biasa.

4. Peluntur

Gambar hiasan via Google

Peluntur (bleach) atau lebih dikenali sebagai Clorox adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian. Namun, ia juga akan melunturkan warna. Jadi, cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih sahaja ya!

Caranya, larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk dan ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal.

Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut. Sekiranya pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama sekitar 20 minit, mengikut sukatan pada produk.

5. Vanish

Selain peluntur, satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.

Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan tahi lalat, dan biarkan seketika sekitar lima hingga 10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.

Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan yang lebih efektif.

Untuk mencegahnya daripada berulang, keringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor. Baju yang terkena susu atau makanan juga boleh direndamkan secepatnya supaya kotoran lebih senang ditanggalkan.

Senang je rupanya nak tanggalkan kesan tahi lalat pada pakaian atau fabrik. Lepas ni jangan buang pulak pakaian korang yang bertahi lalat tu!

Sumber: Facebook Pesan Bonda

Eyla Azri