Siakap Keli
rumput zeon zoysia
Gambar: Wikipedia & Riverside Turf

Guna Rumput Zeon Zoysia? Ini Fakta Menarik ‘Rumput Bertaraf Dunia’

Guna rumput Zeon Zoysia? Apa istimewanya rumput ini?  Bagi yang pernah tonton saingan Olimpik Rio 2016, mesti korang perasan rumput yang lain daripada lain semasa sukan padang. Kalau korang nak tahu, inilah rumput Zeon Zoysia.

Rumput Zeon Zoysia mempunyai sistem akar yang luas, pertumbuhan rizom yang kuat, dan ia menghasilkan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan dalam ujian terkawal oleh National Turf grass Evaluation Programme (NTEP).

Zeon menghasilkan kurang jerami berbanding kultivar zoysia lain. Rumput ini akan sentiasa wujud dalam pelbagai jenis tanah dan mempunyai toleransi garam yang baik.

Gambar: Riverside Turf

Manfaat guna rumput Zeon Zoysia

Manfaat guna rumput Zeon Zoysia ini, jika kita lihat di kaca televisyen, rumput Zeon ini menghasilkan warna hijau yang menyerlah jika dibandingkan dengan rumput pada umumnya.

Rumput Zeon turut terkenal dengan tekstur yang nyaman di kaki walaupun dalam keadaan cuaca yang panas.

Oleh itu, rumput Zeon dikategorikan selamat untuk kanak-kanak serta haiwan peliharaan sekiranya diletakkan di kawasan rumah.

Di samping itu, rumput Zeon dikatakan mampu menangani keadaan cuaca ekstrem kerana ia tidak terkesan dengan cuaca panas atau sejuk yang melampau.

Sementara jenis-jenis rumput yang lain memerlukan sinaran cahaya matahari, rumput Zeon masih boleh beradaptasi dengan persekitaran, tidak kira tempat teduh atau pun terdedah matahari.

Selain itu, rumput Zeon juga tergolong dalam jenis rumput berkualiti tinggi dan hanya boleh ditanam oleh mereka yang bertauliah.

Rumput Zeon juga dikatakan mampu bertahan dari serangga dan penyakit tumbuhan.

Walaupun dengan kualiti sedemikian, rumput Zeon ini sangat mudah diselenggara. Penggunaan air untuk menyiram rumput Zeon setiap minggu adalah sangat sedikit dan hanya memerlukan kurang dari satu kilogram baja nitrogen setahun.

Turut digunakan di Malaysia

Untuk pengetahuan korang, rumput Zeon bukan sahaja digunakan untuk saingan sukan antarabangsa, malah padang dari jenis rumput ini turut terdapat di Malaysia.

Menurut kemaskini di laman Facebook Sports Turf Solutions (STS), padang yang berada di dalam Stadium Sultan Ibrahim turut menggunakan rumput jenis ini.

Stadium Sultan Ibrahim merupakan satu dari tiga stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput Zeon, selain Stadium Nasional Singapura dan Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Sumber: Riverside Turf, Turf Works, Turfgrass Group, STS

Eyla Azri