Siakap Keli
Gambar: Bangkok Post

Dipercayai Bergaduh Isu Kematian Tangmo, Lelaki Maut Jatuh Kondominum

Seorang lelaki dikatakan bertindak melompat dari balkoni sebuah kondominium selepas didakwa bergaduh dengan sahabatnya berkaitan isu kematian selebriti televisyen Thailand, Pattarathida “Tangmo” Patcharaveerapong, lapor Bangkok Post.

Lelaki berkenaan yang juga seorang warga Thailand berusia 20 tahun dilaporkan meninggal dunia setelah mengalami kecederaan dalam kejadian yang berlaku di wilayah Sutthisan pada 3 Mac lalu.

Memetik laporan, mangsa merupakan seorang pengarang kisah fiksyen yang percaya bahawa dia mengetahui dalang di sebalik kematian Tangmo.

Pada hari kejadian, mangsa dikatakan melawat rakannya, seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah unit kondominium.

Mereka dikatakan bertelingkah mengenai isu kematian selebriti berkenaan sebelum mangsa didakwa ‘kalah’ dan bertindak memporak-perandakan kediaman rakannya.

Walau bagaimanapun, rakannya mengaku bahawa dia tidak melihat mangsa terjun kerana sedang bersembunyi di dalam bilik air.

“Saya berlindung di dalam bilik air dan keluar apabila bunyi reda. Saya buat keputusan untuk membawanya makan bagi menenangkannya.

”Namun begitu, saya mendapati dia telah pun terjun dari balkoni,” kata rakan mangsa.

Jelas rakan mangsa, mereka sempat mengambil dadah jenis methamphetamine sebelum pergaduhan mengenai kematian selebriti itu tercetus.

“Saya rasa dia berhalusinasi kerana kesan dari dadah berkenaan. Saya tak rasa dia terjun kerana kecewa disebabkan isu Tangmo,” ujarnya,

Polis kemudian dipanggil ke tempat kejadian dan menemui dadah jenis methamphetamine serta alat menghisap dadah di kondominium.

Lelaki tersebut ditahan kerana mengambil dan memiliki dadah, namun menyangkal dakwaan bahawa dia terlibat dalam kematian rakannya itu.

Ibu mangsa ketika ditemui wartawan berkata, dia tidak percaya anak lelakinya bertindak membunuh diri selepas mengikuti liputan kes kematian Tangmo.

”Anak saya seorang yang tabah dan telah menyara dirinya sendiri sejak kecil,” kata wanita berkenaan yang turut mendakwa bahawa anaknya mempunyai kehidupan yang lancar dan telah memenuhi impian sebagai seorang pengarang.

Pihak polis dilaporkan masih menunggu hasil bedah siasat mangsa, namun tidak menolak sebarang kemungkinan sama ada mangsa terjatuh akibat kemalangan atau ditolak.

Sumber: Bangkok Post

Eyla Azri