Siakap Keli
kripto
Kredit: theeconomictimes.indiatimes.com

Bersedia Untuk Hilang Semua Wang Dalam Kripto – Sekuriti Kesatuan Eropah

London – Pengguna berisiko kehilangan semua wang yang dilaburkan dalam aset Kripto dan boleh menjadi mangsa penipuan, kata badan pemerhatian sekuriti, perbankan dan insurans Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.

“Pengguna menghadapi kemungkinan yang sangat nyata untuk kehilangan semua wang mereka yang dilaburkan jika mereka membeli aset ini”, kata tiga pihak berkuasa Eropah dalam satu kenyataan.

Memetik NDTV, ia menandakan peningkatan amaran langsung kepada pengguna tentang aset kripto oleh pihak berkuasa Eropah.

Pengguna tidak mempunyai perlindungan atau bantuan untuk pampasan di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan Eropah sedia ada, kata kenyataan tersebut.

Ekoran dari itu, pengawal selia semakin bimbang bahawa lebih ramai pengguna membeli 17,000 aset kripto yang berbeza, termasuk bitcoin dan eter yang menyumbang 60 peratus daripada pasaran tanpa menyedari risiko sepenuhnya.

“Pengguna harus berwaspada dengan risiko iklan yang mengelirukan, termasuk melalui media sosial dan influencer. Pengguna harus berhati-hati dengan pulangan cepat atau tinggi yang dijanjikan, terutama yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

Pengguna juga harus sedar bahawa penggunaan tenaga untuk menghasilkan beberapa aset kripto adalah tinggi dan memudaratkan alam sekitar.

Sebelum ini, pasaran kripto dilapor mencatat kerugian kira-kira USD1.2 trilion (RM 5.02 trilion) sejak 8 November lalu, lapor The Street.

Lebih parah, situasi berkenaan pernah dikatakan mungkin bertambah teruk memandangkan trend penurunan dilihat masih berterusan.

Kebanyakan mata wang kripto mengalami kejatuhan selepas mencatat pencapaian tertinggi pada awal November tahun lepas.

Menurut CoinGecko, pasaran mata wang kripto dunia dipercayai bernilai lebih daripada USD3.1 trilion (RM 12.98 trilion).

Namun, nilai tersebut didakwa menurun kepada USD 1.77 trilion (RM 7.41 trilion) pada 21 Januari lalu.

Difahamkan, antara penyumbang utama penurunan tersebut adalah kejatuhan harga Bitcoin sebanyak 46.8 peratus yang sebelum ini pernah merekodkan nilai tertinggi pada USD 69,044 (RM 289,052) pada 10 November lepas.

Harga Bitcoin pada ketika itu berada pada sekitar USD36,886 (RM 154,424), namun dijangka akan terus menyusut.

BACA JUGA: Pasaran Kripto Terus Rugi, Hilang Lebih RM 5 Trilion Dalam Masa 74 Hari

Sumber: NDTV

Aireena Marizan