Siakap Keli
youtuber terkenal
Gambar: Sofyank96

Youtuber Terkenal Malaysia Dedah Bakal Berkolaborasi Dengan Pelakon ‘Misteri’ Dari Hollywood

YouTuber terkenal, Mohamad Sofian atau lebih dikenali sebagai Sofyank96 mendedahkan bahawa dirinya bakal berkolaborasi dengan seorang pelakon ‘misteri’ dari Hollywood.

Menerusi ciapan di Twitter, Sofyank berkongsikan video teaser yang memaparkan dirinya sedang menemu bual seorang pelakon lelaki yang tidak didedahkan wajahnya.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai kerjasama tersebut, Sofyank meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk melakukan projek itu secara maya.

Agak-agak siapa actor kali ini?

Dalam video yang dimuatnaik olehnya, Sofyank kelihatan agak gementar ketika bercakap dengan pelakon itu.

Menurutnya, video kesan khas yang disertai oleh pelakon tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Namun dia tidak mengatakan bila tarikh video tersebut akan dipertontonkan kepada orang ramai.

Pendedahannya itu membuatkan warganet tertanya-tanya siapakah gerangan pelakon tersebut dan ada yang meneka beberapa orang pelakon berdasarkan bahasa tubuh dan gaya percakapan di dalam video itu.

Tidak kurang juga, ramai yang kagum dengan kejayaan Sofyank dan berharap agar YouTuber terkenal itu mendapat pengiktirafan yang selayaknya.

Bukan pertama kali membanggakan rakyat Malaysia, Sofyank sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti popular dari Hollywood seperti Will Smith dan John Cena.

Dalam video yang dihasilkan pada tahun 2019, Will Smith telah menjemput Sofyank untuk menghasilkan satu video bagi mempromosikan filemnya, Gemini Man di Budapest, Hungary.

Difahamkan, Smith tertarik dengan hasil karya Sofyank setelah YouTuber itu berkolaborasi dengan idolanya, Zach King.

Pada ketika itu, video tersebut telah mendapat jutaan tontonan setelah dimuatnaik di Instagram miliknya dan turut dikongsikan oleh Will Smith sendiri.

Hasil karya Sofyank sentiasa mendapat perhatian ramai kerana kesan khas yang diolahnya kelihatan sangat kreatif dan unik.

Mempunyai 800 ribu pengikut di Instagram dan 500 ribu subsribers di YouTube, video-videonya mendapat tontonan yang tinggi dan sering dibanjiri dengan komen warganet dari dalam dan luar negara yang kagum dengan karyanya.

BACA JUGA: Pemuda Malaysia Bertuah, Will Smith Ajak Sofyank96 Ke Budapest Buat Video Viral Promosi Filem Gemini Man

Sumber: sofyank96

Sofea

There's always another side to every story