Kedai makan yang memanfaatkan segala kemudahan teknologi secara optimum dipercayai semestinya akan menjadi pilihan ramai. Adakah kenyataan ini sekadar mitos atau realiti?
Pada hari ini, dunia membangun dengan sangat pesat dan maju. Banyak teknologi canggih yang telah diciptakan manusia, bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja di rumah dan sebagainya.
Tidak terkecuali, terdapat juga beberapa restoran yang sudah semakin canggih apabila mereka menggunakan khidmat robot sebagai pelayan. Ini satu inovasi baharu yang sangat praktikal.
Namun tidak dinafikan, masih ada segelintir peniaga mahupun pengurus kedai makan yang ‘takut’ hendak melabur dalam mempraktikkan teknologi moden di premis mereka.
BACA JUGA: Pesanan Untuk Peniaga Kedai Makan, Kena Asingkan 5 Jenis Duit Ni Kalau Nak Bisnes Maju
‘Ketakutan’ ini sepatutnya perlu ‘dilawan’. Inilah seperti yang diulas oleh seorang penasihat kewangan, Saifullah Suratmin dalam satu perkongsian beliau di Facebook baru-baru ini.
Jelas Saifullah, pengusaha kedai makan sebaliknya perlu ‘berani’ melabur sejumlah kos dalam teknologi dan inovasi bagi merancakkan lagi perniagaan mereka supaya boleh ‘pergi’ lebih jauh.
Ikuti perkongsian beliau yang kami sertakan di bawah dan semoga ia memberi manfaat kepada para peniaga.
Kedai Makan Mesti Berani Melabur Dalam Teknologi dan Inovasi
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum. Sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemilik bisnes SME.
Salah satu cara menangani isu ini ialah melabur dalam teknologi dan inovasi. Saya beri 3 contoh utama teknologi dalam kedai makan:
1. QR code sistem pesanan
Pelanggan boleh scan (seperti MySejahtera) dan terus dapat menu. Jadi tidak perlu pelayan yang datang ambil pesanan. Pesanan itu terus masuk ke bahagian dapur dan terus diproses.
Risiko berlaku kesilapan juga boleh kurang. Bilangan pelayan boleh dikurangkan. Kalau sebelum ini perlu lima pelayan mungkin selepas gunakan sistem QR hanya perlu dua pelayan sahaja.
Mungkin apabila pelanggan sudah faham pelayan sudah tidak diperlukan lagi.
2. Penghantar makanan
Tidak perlu pelayan hantar makanan. Sekarang sudah ada robot yang boleh menghantar makanan. Robot itu akan hantar makanan ke meja makan pelanggan. Sama seperti pelayan restoran. Masalah salah hantar makanan juga boleh selesai.
3. Platform Foodpanda dan Grabfood
Kebanyakan restoran sudah mula beralih kepada transaksi seperti ini. Bayangkan dahulu, kita perlu ruang yang besar untuk boleh memuatkan banyak pelanggan.
Sekarang kita sudah ada platform. Jadi saiz restoran sudah tidak perlu besar dan pelanggan boleh dapatkan makanan dan minuman kegemaran.
Kita cuma perlu melabur untuk bagaimana nak adaptasi platform ini dalam restoran.
Saya yakin lagi 2-3 tahun akan datang permintaan pekerjaan akan semakin kurang dengan berkembangnya teknologi. Jadi kita mesti berani melabur dalam teknologi ini.
Sumber: Saifullah Suratmin