Siakap Keli
singapura
Gambar: The Straits Times

Pemakaian ‘Face Mask’ Di Luar Rumah Tidak Diwajibkan Berkuatkuasa 29 Mac – PM Singapura

Pemakaian pelitup muka di Singapura kini dilonggarkan apabila orang ramai boleh memilih untuk tidak memakainya di luar rumah, lapor South China Morning Post.

Pun begitu, orang ramai tetap perlu memakai pelitup muka di dalam ruangan yang tertutup.

Kelonggaran itu merupakan salah satu daripada perubahan berkaitan sekatan COVID-19  yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam sidang media hari ini.

Langkah itu dilakukan berikutan risiko penularan di negara tersebut pada ketika ini jauh lebih rendah.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan juga masih menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka walaupun berada di luar rumah untuk melindungi diri.

Dalam sidang media itu, Lee juga berkata penjarakan fizikal masih dikekalkan untuk mengurangkan penularan jangkitan, lapor The Straits Times.

Sementara itu, antara kelonggaran lain yang telah diumumkan adalah kebenaran untuk mengadakan persembahan atau konsert secara langsung termasuk nyanyian jalanan.

BACA: Singapura Buka Sempadan Kepada Semua Pengembara Lengkap Divaksin Pada 1 April

Namun, individu yang terlibat dalam persembahan itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang penularan.

Tidak cuma itu, perhimpunan dan acara sosial berskala besar seperti makan malam gala, tarian korporat dan sambutan hari jadi juga dibenarkan.

Perhimpunan itu akan dihadkan kepada 10 orang setiap meja dan perlu mempunyai penjarakan fizikal 1 meter.

Bagi pekerja pejabat, 75 peratus yang bekerja di rumah sebelum ini sudah dibenarkan masuk semula ke pejabat mereka.

Dalam pada itu, Lee juga memaklumkan bahawa dos penggalak kedua disyorkan kepada mereka yang secara perubatan terdedah kepada COVID-19 yang teruk.

Ini termasuk mereka yang berumur 80 tahun ke atas dan individu yang terdedah dari segi perubatan yang berisiko mendapat penyakit yang teruk.

Selain itu, negara tersebut juga akan membuka semula sempadannya kepada semua pengembara yang lengkap divaksin bermula 1 April.

Ia melibatkan pengembara dari negara atau wilayah dalam Kategori Perjalanan Umumnya dan akan beralih kepada Rangka Kerja Perjalanan Bervaksin baharu.

Sumber: South China Morning Post, The Straits Times

Sofea

There's always another side to every story