Baru-baru ini berlaku satu kematian tragis sebuah keluarga di Indonesia yang terkena renjatan arus elektrik yang mengalir daripada alat pemanas air di dalam bilik air.
Kejadian pilu lagi menyayat hati itu melibatkan sepasang suami isteri dan seorang bayi mereka yang baru berusia 11 bulan, serta seorang pembantu rumah.
Berita kematian tragis itu disiarkan di Facebook Siakap Keli pada semalam dan ia meraih pelbagai reaksi warganet. Rata-ratanya sangat bersedih atas nasib malang yang menimpa mereka.
Sehubungan itu, berita tersebut turut mendapat maklum balas daripada seorang warganet yang bernama Rashidi Din di ruangan komentar.
Difahamkan, beliau merupakan seorang jurutera mekanikal dan elektrikal. Jadi, maklum balas yang diberikan adalah berkisar mengenai sistem piawaian pendawaian dan pemasangan alat pemanas air.
Spesifikasi wiring pemanas air
Di ruangan komentar, Rashidi menulis komentar seperti berikut:
“Kita usaha buat wiring water heater ikut spesifikasi selamat Suruhanjaya Tenaga. Selebihnya kita serah kepada Allah.”
Berdasarkan komentar tersebut, Rashidi menjelaskan mengenai sistem pendawaian dan pemasangan alat pemanas air di dalam bilik air yang mengikut spesifikasi Suruhanjaya Tenaga (GP/ST/no.6/2016).
Menurutnya, kabel yang digunakan pada alat pemanas air itu mestilah yang bersaiz minimum 4.0 milimeter.
Selain itu, alat pemanas air itu perlulah menggunakan RCCB berkepekaan 10mA untuk menjamin keselamatan pengguna.
Seterusnya, saluran atau hose paip yang digunakan mestilah daripada jenis PVC atau plastik sepenuhnya tanpa ada unsur besi mahupun chrome.
Akhir sekali, penggunaan suis dwikutub 20A hendaklah terus kepada alat pemanas air tanpa sebarang socket atau plugtop 13@15A.
Terdahulu, dilaporkan sebuah keluarga termasuk bayi maut dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik alat pemanas air di kediaman mereka di Pulogadung, Jakarta Timur baru-baru ini.
Menurut Kompas.com, mangsa yang maut terdiri daripada sepasang suami isteri berusia 37 dan 29 tahun; bayi berusia 11 bulan; dan seorang pembantu rumah berusia 59 tahun.
Ketua Polis Pulogadung, David Richardo berkata, kejadian berlaku ketika wanita tersebut mahu memandikan bayinya dengan menggunakan alat pemanas air.
“Berkemungkinan besar renjatan elektrik tersebut berlaku ketika mereka mahu memandikan bayi itu.
“Suami serta pembantu rumah mereka bergegas ke bilik air setelah mendengar suara jeritan itu, namun masing-masing akhirnya terkena renjatan juga,” katanya, lapor Kompas.com.
Difahamkan, tragedi tersebut turut disedari oleh seorang lagi pembantu rumah yang juga merupakan adik kepada pembantu rumah yang maut dalam kejadian itu.
Lantas pembantu rumah tersebut terus menghubungi pihak polis dan ambulans, bagaimanapun keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber: Rasidi Din