Saintis di Amerika Syarikat (US) telah menemui pil kawalan kelahiran atau perancang untuk lelaki yang mencatatkan keberkesanan 99 peratus hasil ujian pada tikus jantan tanpa kesan sampingan.
Menurut Euro News, penemuan tersebut telah dibincangkan pada mesyuarat musim bunga American Chemical Society baru-baru ini.
Hal tersebut menandakan satu langkah penting dalam usaha mengembangkan pilihan kontraseptif untuk lelaki, serta berkongsi beban kawalan kelahiran dengan lebih baik bersama wanita.
Walaupun terdapat banyak pilihan untuk wanita mengawal kitaran haid mereka, namun hanya terdapat dua pilihan sedia ada yang berkesan setakat ini dari segi kontraseptif lelaki, iaitu kondom atau vasektomi.
Namun, kondom boleh digunakan sekali sahaja manakala vasektomi tidak mudah untuk ‘diterbalikkan’.
Oleh itu, penyelidik telah berusaha untuk mencipta kontraseptif lelaki yang berkesan, tahan lama dan mampu ‘diundur’ sama dengan pil perancang untuk wanita.
“Para saintis telah mencuba selama beberapa dekad untuk mencipta kontraseptif oral lelaki yang berkesan, akan tetapi masih tiada pil yang diluluskan di pasaran,” kata seorang pelajar siswazah yang melakukan pembentangan pada mesyuarat itu, Md Abdullah Al Noman, lapor Euro News.
Memetik Euro News, kebanyakan sebatian yang sedang menjalani ujian klinikal telah menyasarkan testosteron hormon seks lelaki yang membawa kepada kesan sampingan seperti pertambahan berat badan, kemurungan dan peningkatan paras kolestrol lipopretein berketumpatan rendah (LDL).
“Kami mahu mencipta kontraseptif lelaki bukan hormon untuk mengelakkan kesan sampingan ini,” katanya lagi, lapor Euro News.
Difahamkan, untuk mencipta pil bukan hormon, mereka menyasarkan protein yang dipanggil reseptor asid retinoik (RAR) alpha.
“Dalam badan, vitamin A ditukar kepada bentuk yang berbeza termasuk asid retinoik yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sel, pembentukan sperma dan perkembangan embrio.
“Asid retinoik perlu berinteraksi dengan RAR-alpha untuk melaksanakan fungsi ini dan ‘mengetuk’ gen RAR-α pada tikus jantan menjadikannya steril tanpa sebarang kesan sampingan yang jelas.
“Jadi, saintis telah mencipta sebatian yang menghalang tindakan RAR-alpha. Mereka telah mengenal pasti molekul terbaik dengan bantuan model komputer,” lapor Euro News.
Tikus boleh menjadi bapa semula selepas empat hingga enam minggu berhenti mengamalkan pil
Bahan kimia yang dikenali sebagai YCT529 direka bentuk untuk berinteraksi secara khusus dengan RAR-alpha dan bukan dua reseptor lain yang berkaitan untuk meminimumkan potensi kesan sampingan.
Menerusi Euro News, pil tersebut diberikan kepada tikus jantan selama empat minggu secara mendadak, bertujuan untuk mengurangkan jumlah sperma dan ia 99 peratus berkesan dalam mencegah kehamilan dan sebarang kesan buruk.
Pil akan siap dalam lima tahun?
Difahamkan, mereka telah bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta, YourChoice Therapeutics, bertujuan untuk mulakan ujian kepada manusia di negara tersebut menjelang suku ketiga atau keempat tahun ini, kata seorang penyelidik, Georg.
“Saya percaya perkara ini akan berjalan lancar. Tiada jaminan bahawa ia akan berkesan, tetapi saya akan terkejut jika kita tidak dapat melihat kesannya terhadap manusia,” jelas Georg, lapor Euro News.
Penyelidik itu menerima pembiayaan daripada Institut Kesihatan Negara dan Inisiatif Kontraseptif Lelaki, sebuah organisasi nonprofit pilihan kawalan kelahiran yang lebih luas.
BACA JUGA: Bahaya Atau Tidak Kesan Pil Perancang Untuk Kesihatan Wanita? Ini Penjelasan Pakar
Sumber: Euro News