Siakap Keli
sempadan singapura-malaysia
Gambar: Bernama

Penunggang Motosikal Mula Banjiri Sempadan Singapura-Malaysia Malam Ini

Susulan fasa peralihan endemik, sebilangan besar penunggang motosikal kelihatan sedang bersiap sedia di Woodlands Checkpoint untuk memasuki sempadan Singapura-Malaysia yang akan dibuka tidak lama lagi.

Memetik ciapan Bernama di Twitter, keadaan di Tambak Johor kelihatan meriah pada sekitar jam 11.24 malam tadi.

Kelihatan ramai yang menunggu termasuk mereka yang mempunyai ahli keluarga bekerja di Singapura turut berkumpul berdekatan Tambak Johor menantikan saat pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tepat 12 tengah malam.

Menerusi video yang dimuatnaik di Facebook Bernama, dapat dilihat gelagat para penunggang motosikal yang teruja untuk memasuki sempadan.

Tidak hanya penunggang motosikal, deretan kereta juga turut dilihat memenuhi kawasan tersebut.

Malah, ada sebahagian rakyat Malaysia yang turut berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor. Ketibaan mereka akan disambut oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, sorakan keterujaan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dapat didengari di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, selepas sempadan dibuka tepat 12 tengah malam ini.

BACA: Pengembara Lengkap Vaksin Dibenar Rentas Sempadan Darat Malaysia-Singapura, Tak Perlu Kuarantin

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membenarkan pengembara yang sudah lengkap divaksinasi untuk merentas sempadan darat Malaysia – Singapura.

Mereka dibenarkan untuk merentas sempadan tanpa perlu menjalani kuarantin.

Kebenaran itu terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama pada minggu lalu berkata kedua-dua negara telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

Di samping itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata semua pelawat jangka pendek yang lengkap divaksin tidak perlu lagi membeli insurans perjalanan wajib.

Bagaimanapun, pengembara masih digalakkan untuk membeli insurans perjalanan sebagai perlindungan luar jangka ketika mengembara.

Ia juga mungkin merangkumi kecemasan perubatan dan kos kemasukan ke hospital, serta gangguan berkaitan perjalanan.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story