Siakap Keli

Empat Penyelam Warga Asing Hilang: Mangsa Pertama Ditemui Selamat

CYBERJAYA – Seorang daripada empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, ditemui selamat.

Mangsa yang merupakan warganegara Norway, Kristen Grodem, 35, dilaporkan tiba di Stadium Mersing dengan menaiki helikopter dari Unit Udara APMM, kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi.

Kristen yang juga jurulatih selam telah dihantar ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.

Sebelum itu, empat penyelam tersebut dilaporkan tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar 12 tengah hari, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat melalui Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya mengenai kejadian tersebut pada jam 2.35 petang.

Susulan itu, Nurul Hizam berkata Op Carilamat telah diaktifkan pada 2.45 petang melibatkan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Op Carilamat diteruskan hari ini bermula jam 7 pagi melibatkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu mangsa yang hilang dikenali sebagai Kristine Grodem, 35, yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda).

“Kesemua mangsa adalah pelancong yang seorang daripada mereka merupakan seorang jurulatih (selam) manakala tiga yang lain adalah pelajar.

“Ini bukan kali pertama mereka menyelam, (sebaliknya) kesemua mereka agak berpengalaman dalam selaman dan sedang menaik taraf sijil kelayakan menyelam,” katanya.

Onn Hafiz berkata semua keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kehilangan mangsa dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga petang ini bergantung keadaan cuaca.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.