Siakap Keli

Apresiasi Seni Menerusi KUL Art Airport Di 4 Buah Lapangan Terbang Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 9 April 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Balai Seni Negara menganjurkan KUL Art Airport dengan kerjasama Malaysia Airports. KUL Art Airport merupakan satu inisiatif bagi merealisasikan karya seni awam di 4 buah Lapangan Terbang Antarabangsa kendalian Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Pulau Pinang (PIA), Kota Kinabalu (KKIA) dan Kuching (KIA).

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 9 April 2022, jam 12.00 Tengahari di Balai Pelepasan KLIA. Majlis akan turut dihadiri YBhg. Dato’ Indera Dayang Fatimah Tom Abang Saufi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Pengerusi Malaysia Airports dan YBrs. En. Amerrudin Ahmad selaku Ketua Pengarah Balai Seni Negara.

Pameran KUL Art Airport berlangsung bermula Mac 2022 hingga Jun 2022. Objektif pameran ini adalah bagi memperkasa ekosistem industri pelancongan dan kebudayaan yang inklusif serta memberi peluang kepada seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di pelantar antarabangsa.

Sejajar dengan matlamat Balai Seni Negara dalam melestarikan ekosistem seni tempatan, KUL Art Airport dilihat bakal menjadi tarikan baharu pelancong domestik dan antarabangsa sekaligus ia dapat memperkenalkan konsep seni kepada orang ramai. Malaysia Airports turut menyambut baik inisiatif ini kerana ia bukan sahaja menceriakan suasana di lapangan terbang, malah membantu meningkatkan nama seniman tempatan di persada dunia yang juga merupakan salah satu aspirasi tanggungjawab sosial korporat organisasi.

Karya-karya di semua lokasi ini memberi fokus kepada elemen budaya, seni, warisan dan alam semula jadi. Artis yang terlibat adalah Sumay Cheah dan Ho Lay Hoon daripada OtherHalf dengan karya bertajuk “OH!Budaya”. Karya ini dipamerkan di PIA. Di KLIA, “Polyhedron Pavilion” merupakan hasil karya Allahyarham Noah Iskandar Fuad (b.1996 – d.2021). Manakala di KKIA, lukisan

mural dipamerkan di pintu masuk balai pelepasan. Lukisan mural “The Nature Mind of Landscape” adalah hasil karya Kenji Chai yang merupakan seorang pelukis mural. Manakala di KIA, dipamerkan hasil karya oleh kolektif seni Aftermath Thinker Art Collective iaitu “Reciting Hope”.

“Pendekatan visual di ruang awam empat lapangan terbang antarabangsa ini memberi peluang kepada penggiat seni untuk menerokai identiti tempatan, melalui platform yang melibatkan pelancong tempatan dan antarabangsa. Selain bersifat artistik, karya yang dipamerkan juga membawa mesej melalui pendekatan interaktif kepada semua genre umur dan pelbagai bangsa serta negara.

Penerapan teknologi terkini turut diberi keutamaan agar sentiasa seiring dengan perkembangan semasa,” ujar YBrs. En. Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara.

Jangan lepaskan peluang untuk menghayati kesemua karya seni ini di pintu masuk negara dan sertai pertandingan KUL Art Airport di sosial media rasmi Balai Seni Negara. Dalam pada itu, Balai Seni Negara dijangka akan dibuka semula kepada orang ramai bermula Mei 2022 dan ketetapan tarikh akan dimaklumkan kelak.

Orang ramai dijemput untuk melawat galeri Balai Seni Negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau kunjungi laman sosial rasmi Balai Seni Negara.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
National Art Gallery
Sarifah Abu Bakar Ebau Wan Nor Hidayah Wan Idris T: +60 16 494 7921 T: +60 17 987 3303 E: [email protected] E: [email protected]
Unit Komunikasi Korporat
Balai Seni Negara, Malaysia
No. 2 Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur Tel.: 03-40267000 Fax: 03-40244998
E: [email protected] W: www.artgallery.gov.my

Pengkarya : OtherHalf (Sumay Cheah b.1986 and Ho Lay Hoon b.1986) Tajuk Karya : OH!Budaya
Bahan : Pemasangan Seni Interaktif, papan lapis dan Plexiglas Saiz : 5220mm (Lebar) x 3900mm (Kedalaman) x 2400mm (Tinggi) Tahun : 2022

OH! Budaya mengalukan-alukan pengunjung ke portal budaya yang terdiri daripada panel-panel yang saling berkait dan membentuk sebuah laluan berselirat. Setiap panel mempunyai keunikan yang tersendiri dan apabila disatukan ianya berdiri dengan cantiknya bagi membentuk corak yang penuh. Penyilangan panel ini mengingatkan kita bahawa kita semua mempunyai keunikan dengan cara yang tersendiri, namun berkongsi identiti yang sama iaitu sebagai rakyat Malaysia.

Ruang ini untuk diterokai dan menghayati kepelbagaian warna, masyarakat dan budaya tanpa sempadan. Menggunakan corak budaya ringkas yang diperbuat daripada papan lapis dan plexiglas yang diguna semula, ini merupakan karya yang mesra keluarga dan inklusif untuk dinikmati semua. Anda boleh mengintai melalui salah satu tingkap atau main sorok-sorok di antara panel yang saling berkait ini dimana dapat menjadi tempat untuk semua orang untuk berhubung, berinteraksi dan bermain.

Pengkarya : Noah Iskandar Bin Fuad (b.1996 – d.2021) Tajuk karya : Polyhedron Pavilion
Bahan : MS Hollow Steel Structure disalut dengan MDF dengan tekstur kayu kemasan pelekat.
Saiz : 5800mm (l) x 5000mm (W) x 4650mm (H)
Tahun : 2022
Koloborasi : UCSI University, ZLG Design and NVADB
Fabrikasi : Media Signs Sdn. Bhd.
Pavilion ini direka berdasarkan kajian geometri yang berasal dari budaya tatu suku kaum Malaysia Timur. Seni tatu menggunakan geometri yang dianggap sebagai sains purba dalam meneroka dan menerangkan corak tenaga. Corak ini mencipta dan menyatukan semua perkara di alam semesta. Geometri ialah bahagian teras matematik, sejak abad ke-6 SM. Ia adalah prinsip saintifik teras di sebalik seni bina purba, termasuk piramid Mesir. Selain itu, orang Mesir purba adalah orang pertama yang menggunakan tatu geometri. Pavilion polihedron adalah hasil daripada manipulasi geometri tersebut.

Pavilion ini bertujuan untuk memanfaatkan identiti tempatan yang diilhamkan oleh seni dan kraf tempatan. Struktur pavilion boleh alih ini bergerak ke bandar dan negeri yang berbeza untuk mempromosikan seni & kraf tempatan dengan pelbagai poster dipaparkan di dalamnya. Pemilihan poster akan mempamerkan koleksi Seni Negara. Paparan itu akan memupuk kesedaran tentang karya seni tempatan dan memberi inspirasi kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa ke KLIA.

Pengkarya : Kenji Chai (b.1982)
Tajuk karya : The Nature Mind of Landscape
Bahan : Lukisan dinding (Seni graffiti)
Saiz : 34.5 ft x 15.6 ft
Tahun : 2022

Karya the Nature Mind of Landscape adalah sebuah karya graffiti untuk mengingatkan generasi kini tentang kepentingan alam dan haiwan hidupan liar yang semakin pupus. Menggambarkan beberapa jenis haiwan liar dengan berlatarbelakangkan landskap hutan dan keberadaan figura wanita memperlihatkan bagaimana hubungan antara manusia dengan alam semulajadi. Gambaran dari warisan alam dan hidupan liar ini juga adalah salah satu keunikkan negeri Sabah yang perlu dilindungi dan dipulihara.

Sejauh mana kita membuka mata dan menyedari bahawa ini adalah sebahagian ekosistem alam yang masih ada. Semoga generasi akan datang berpeluang mengenali dan memahami alam dan hidupan lain seiring dengan kemodenan dan teknologi terkini.

Pengkarya : Aftermath Thinker Art Collective
Tajuk karya : “RECITING HOPE”
Bahan : Media campuran
Saiz : Bentuk fizikal — 253 (H) x 613 (W) x 613 (L) cm Augmented Reality – Variable Dimension
Tahun : 2022

Karya “Reciting Hope” dihasilkan sebagai satu perlambangan terhadap visi tersebut yang membawa nilai kebudayaan dan alam semula jadi. Sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, kita menjadikan alam sekitar dan budaya di sekeliling kita sebagai sumber ilmu dan inspirasi ke arah pertumbuhan teknologi digital.Ia telah mendorong dalam penghasilan karya “Reciting Hope” yang terdiri daripada elemen-elemen dari alam semula jadi, pembangunan, dan teknologi, di dalam satu karya.

Dari segi representasi dan ekspresi karya arca ini, ia menstrukturkan dirinya kepada dua bentuk utama (saling berkait) yang membawa maksud “Hope”. Bahagian Konkrit pecah ini melambangkan bencana akibat peperangan, kejatuhan ekonomi, bencana alam sekitar, dan wabak yang membawa kepada isu sosial, kemelesetan ekonomi, dan kemiskinan. Pada masa yang sama, ia masih lagi berpaut pada harapan (sifat). Ia mengikat kita dengan persoalan sebenar iaitu siapa diri kita? dan mengapa kita berada di sini?

‘Organic Fractal Growth’ adalah berdasarkan ‘Lady Veil Mushroom’ yang berasaskan konsep simbiosis, ‘Mutual Parasitism’. Sifat simbiosis ‘Lady Veil Mushroom’ ini adalah metafora yang sempurna memberi maksud perlindungan, pergantungan, dan kesinambungan, yang di dalam konteks ini, membawa maksud asas iaitu “Hope”.
Bentuk ‘Organic Fractal Growth’ adalah berdasarkan ‘Fractal Theory’ yang menerangkan pertumbuhan yang tiada penghujung. Itulah metafora yang melambangkan ‘kekuatan’ dan ‘ketabahan’ untuk manusia bangkit semula dan berpegang teguh kepada harapan.

Dengan mempraktikkan teknologi Maya (AR), para peserta dapat melihat seekor burung Kenyalang menjelma dan terbang dengan anggun mengelilingi karya. Ia melambangkan pertumbuhan lestari yang ingin dicapai di Sarawak melalui inisiatif digital di samping memelihara nilai budaya dan alam semula jadi.

Konsep seni partisipatif mengukuhkan lagi visi karya ini, kerana teknologi, budaya, dan alam semula jadi, perlu wujud bersama. Sebagai sebahagian daripada ekosistem, sebagaimana manusia mendapat manfaat dari alam semula jadi, manusia juga perlu memberikan manfaat yang sama timbang taranya kepada alam semula jadi demi masa depan yang lebih cerah.

Selari dengan konsep tersebut, karya ini telah dihasilkan dengan menggunakan sisa buangan (plastik HDPE) dan konkrit sebagai bahan utama untuk arca tersebut di mana ia mampu merealisasikan idea kebangkitan semula. Ia membawa kembali kepada misi utama karya untuk membawa “Hope” sebagai sebahagian daripada ekosistem.
Arca ini adalah karya penulisan kami yang kami tulis dengan harapan demi masa depan… “RECITING HOPE”
– Kolektif Seni Aftermath Thinker

Amira

Love yourself.