Siakap Keli
nyaris maut
Gambar Via Daily Mail

Budak Nyaris Maut, Palang Keselamatan Permainan ‘Free Fall’ Tidak ‘Dikunci’

Seorang kanak-kanak berusia empat tahun nyaris maut selepas menaiki permainan popular, Free Fall, di pertunjukan Sydney Royal Easter setelah palang keselamatan di tempat duduknya tidak ‘dikunci’ pada Ahad lalu.

Berikutan kejadian itu, permainan tersebut telah ditutup kepada orang awam.

Memetik laporan Daily Mail, pengunjung yang melihat tempat duduk kanak-kanak itu tidak terkunci telah memaklumkan perkara tersebut kepada pengendali permainan itu.

Menurut mereka, palang tempat duduk itu tidak terkunci dan boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut terpelanting ke udara.

Sementara itu, foto yang tular di media sosial memaparkan kanak-kanak tersebut bersiap sedia di atas permainan itu dengan palang keselamatan dilihat tidak diturunkan.

Kanak-kanak lain yang berada di sebelahnya pula semuanya telah selamat memegang palang tersebut.

Ibunya yang menyedari perkara itu mula berasa cemas dan memohon kepada pengendali untuk menghentikan permainan itu.

“Saya dan suami tidak cukup tinggi untuk mencapainya, mereka tidak menarik palang tersebut ke bawah, mereka tidak memeriksanya,” katanya.

Anak hidap autisme

Tambah wanita itu lagi, anak lelakinya itu menghidap autisme dan disebabkan itu agak sukar untuk mengetahui mengenai perasaannya selepas kejadian itu.

Dalam pada itu, seorang lagi saksi berkata pengendali permainan itu tidak sedar bahawa kanak-kanak itu berada dalam bahaya.

“Mereka menekan butang kecemasan tetapi pengendali itu nampaknya tidak dapat membawa turun permainan itu dan ada seseorang yang terpaksa memanjat untuk menyambut kanak-kanak itu.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu turut menjerit dan meminta agar permainan tersebut dihentikan.

“Kecuaian ini berlaku di hadapan ramai pengunjung,” katanya.

Susulan itu, penganjur pertunjukan tersebut telah melancarkan siasatan segera ke atas kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata permainan itu tidak akan beroperasi semula sehingga siasatan penuh berkaitan kejadian itu selesai dan permainan diluluskan oleh pakar jurutera.

“Keselamatan pengunjung di sini adalah yang paling utama dan kami telah menutup permainan itu berikutan isu tersebut,” kata pihak penganjur.

Di samping itu, pihak polis pula berkata mereka tidak menyedari kejadian itu dan berkata ia adalah isu keselamatan bagi penganjur.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story