Siakap Keli
tudm meninggal dunia

Kematian Dicemburui, Pesara TUDM Meninggal Dunia Semasa Solat Isyak Berjemaah Di Bulan Puasa

KUALA SELNGOR – Seorang lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia semasa solat Isyak berjemaah di Masjid Annur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh malam tadi.

Memetik Utusan, pesara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) yang berasal dari Melaka itu sebelum itu rebah dalam rakaat pertama sebelum disahkan meninggal dunia. Kematiannya disahkan oleh sekumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.

Menurut abang mangsa, adiknya sudah sembilan tahun bersara dari TUDM. Allahyarham menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.

Sepanjang pengetahuannya, Allahyarham yang tinggal Saujana Perdana sihat sahaja.

Allahyarham mempunyai empat orang anak berusia antara 16 hingga 23 tahun. Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian.

Jenazah akan akan dimandikan di MAN pada kira-kira jam 8.30 pagi ini dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah pada 11 pagi ini.

Insiden ini mendapat perhatian daripada seorang pendakwah, Pahrol Mohamad yang juga menjadi jemaah di situ berkata mereka mencemburui pemergian Allahyarham iaitu ketika solat Isyak pada bulan Ramadan.

Dalam satu perkongsiannya di Facebook, beliau berkata ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.

Jelasnya lagi, usai solat beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan Arwah.

“Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah tersebut telah meninggal dunia.

“Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulis di Facebook miliknya.

 

 

Sumber: Utusan

Baca juga: Ini Cara Nak Semak Status Permohonan Pengeluaran Khas KWSP, Diterima Atau Sebaliknya

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang