Siakap Keli
penembakan kereta api brooklyn
Gambar via Twitter

Detik Cemas Insiden Tembakan Dan Letupan Kereta Api Di Brooklyn Tular

BROOKLYN – Sekurang-kurangnya 13 mangsa dilaporkan cedera, termasuk tujuh yang ditembak dalam insiden tembakan rambang dan letupan kereta api bawah tanah di sini, pagi tadi.

Detik cemas serangan berdarah itu turut beredar di media sosial, menunjukkan para penumpang berlari dan menjerit sejurus selepas kereta api berhenti di platform stesen.

Kejadian penembakan itu dilaporkan berlaku pada waktu puncak, kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan di dalam sebuah kereta api yang berhenti di stesen 36th Street.

Menurut saksi, suspek dikatakan memakai pakaian pekerja pembinaan yang lebih kurang sama dengan kakitangan Metropolitan Transportation Authority (MTA) serta turut mengenakan topeng gas.

Memetik laporan New York Post, salah seorang saksi yang juga seorang penumpang ketika kejadian mengaku mendengar beberapa siri tembakan.

“Sepertinya ia (tembakan) sangat banyak, saya juga tidak tahu berapa.

“Pada mulanya, saya ingat dia adalah kakitangan MTA kerana saya tidak begitu memberikan perhatian, tapi dia memakai pakaian berwarna jingga,” katanya.

Jelas saksi berkenaan, pelaku adalah seorang lelaki setinggi lima kaki dan lima inci (kira-kira 1.65 meter), dengan berat sekitar 170 paun (kira-kira 77 kilogram).

Lelaki tersebut dipercayai melepaskan sesuatu berbentuk silinder yang pada masa sama mengeluarkan percikan api di bahagian atas.

Pasukan bom polis New York dilaporkan telah tiba di tempat kejadian dan pihak berwajib kini sedang melakukan siasatan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) MTA untuk mengenal pasti suspek.

Pihak berkuasa dilaporkan turut menemui beberapa alat yang belum diletupkan di tempat kejadian, lapor New York Post.

Sumber: New York Post

Eyla Azri