Siakap Keli
Gambar via ISE Magazine

LHDN Dedah Modus Operandi Scammer, Lima Kes Ini Sering Digunakan Mereka

Terdapat pelbagai teknik, taktik dan modus operandi scammer yang sanggup menyamar dan mengaku sebagai pegawai LHDN.

Hari demi hari, pasti ada mangsa terkena dengan penipuan yang menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Scammer ini sering menggunakan pelbagai cara untuk membuatkan mangsa berasa takut. Biasanya kes yang kerap terjadi adalah panggilan telefon yang kononnya dihubungi dari LHDN.

Antara alasan yang diberikan scammer yang mengaku dirinya dari pihak LHDN adalah mangsa perlu membayar cukai atau tunggakan dalam jumlah tertentu. Perkara ini sedikit sebanyak membuatkan mangsa berasa cemas, lalu terus membuat tindakan melulu untuk ‘melepaskan’ wang mereka.

Jadi bagaimana kita nak bezakan sama ada orang yang menelefon kita itu adalah scammer ataupun pihak LHDN sendiri? Terdapat pelbagai cara dan kaedah yang dilakukan oleh scammer seperti kes tunggakan, siasatan cukai dan banyak lagi. Jom ikuti petikan dari portal LHDN mengenai lima jenis kes yang sering digunakan scammer berkaitan cukai LHDN.

LHDN dedah modus operandi scammer, lima kes ini sering digunakan mereka

Kes tunggakan cukai / pelarian cukai

Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDNM.

Selain itu, mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDNM atau pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.

BACA JUGA: Duit Dalam Akaun Hilang Tiba-tiba, Wanita Dedah Taktik Licik ‘Scammer’

Pelarian cukai, kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram

Mangsa dihubungi kononnya mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan pengubahan wang haram. Sehubungan itu akaun bank milik mangsa akan disekat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ atau ‘pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bertujuan untuk menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa.

Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

Lawatan pungutan / audit / siasatan cukai

Mangsa menerima kunjungan ‘pegawai LHDNM’ kononnya untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa telah salah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDNM.

Keuntungan penjualan saham

Mangsa menerima surat atau e-mel memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.

Gambar via LHDNM

Bayaran balik cukai terlebih bayar

Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mangsa mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDNM. Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mangsa kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDNM.

Gambar via LHDN

Awas, jangan terpedaya menjadi mangsa

Jika menerima panggilan daripada scammer dan mereka menyatakan maklumat yang meragukan, sebaiknya anda perlu membuat semakan melalui panggilan ke Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar Negara) atau berhubung menerusi HASiL Live Chat.

Selain itu, anda juga boleh mengisi borang Maklum Balas LHDNM di pautan INI atau boleh dapatkan janji temu dan hadir ke mana-mana cawangan LHDN yang berdekatan.

Perlu diingat, antara maklumat penting yang tidak boleh didedahkan ialah butiran perbankan terutamanya perbankan internet. Selain itu, jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan.

Pastikan juga bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDNM iaitu bayaran Cukai Pendapatan dan Cukai Keuntungan Harta Tanah kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri serta Bayaran Duti Setem kepada Pemungut Duti Setem.

Anda juga diingatkan untuk tidak muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali.  Jangan juga membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon LHDNM di portal rasmi LHDNM.

Akhir sekali, semak Rangka Kerja Pungutan Cukai, Rangka Kerja Audit Cukai dan Rangka Kerja Siasatan Cukai dari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Perundangan untuk mengesahkan prosedur sahih aktiviti pungutan, audit dan siasatan cukai LHDNM

Gambar via LHDNM

Pastikan e-mel rasmi LHDNM menggunakan domain @hasil.gov.my.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi LHDNM 

Sumber: Laman web rasmi LHDNM

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?