Siakap Keli
polis heret kuarantin
Gambar via Twitter

Polis China Dilapor Serbu Rumah, Heret Lelaki Disyaki Positif COVID-19 Ke Kem Kuarantin

Shanghai – Baru-baru ini, beredar sebuah video menunjukkan sepasukan polis China dalam sut perlindungan diri memecah masuk rumah dan mengheret seorang lelaki ke kem kuarantin.

Dalam video berkenaan, dapat dilihat bahawa seorang lelaki menjerit sambil berundur ke balkoni untuk melarikan diri setelah dikepung pihak berkuasa.

Lelaki itu kemudiannya dijatuhkan oleh pasukan polis dengan menggunakan sejenis senjata yang dipercayai taser gun.

Menurut The Sun, pihak polis turut dilapor menggunakan bantuan anjing pengesan dalam operasi mengheret lelaki berkenaan untuk ke kem kuarantin.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika 26 juta penduduk Shanghai dikenakan perintah berkurung yang sangat ketat sebagai langkah proaktif kerajaan China mengawal kes COVID-19 di kota tersebut.

Negara Tembok Besar itu mewajibkan sesiapa sahaja yang didapati positif atau kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dihantar ke kem kuarantin.

Setakat ini, Shanghai dikatakan masih belum merekodkan lonjakan kes COVID-19 dan kes melibatkan varian Omicron di kawasan itu masih terkawal setelah pendekatan sifar kes dikuatkuasakan.

Menurut laporan yang beredar, penduduk dikatakan terbiar tanpa bekalan makanan selama berhari-hari, manakala haiwan peliharaan dipukul hingga mati selepas pemiliknya disahkan positif.

Warga setempat yang sudah seminggu dilarang keluar dari rumah mula menunjukkan reaksi dengan menjerit secara spontan dan ada juga yang dilaporkan terjun dari pangsapuri mereka.

Dron yang berlegar di bandar raya yang sebelumnya sesak dengan aktiviti penduduk itu dikatakan merakam suasana jalan yang benar-benar lengang, berbeza dengan keadaan sebelumnya.

Sementara itu, penduduk yang kelaparan turut melanggar sekatan polis dan menyerbu pasar raya di Shanghai kerana sudah tidak berdaya akibat kekurangan makanan, lapor The Sun.

 

Sumber: The Sun

Eyla Azri