Siakap Keli
tiket angkasa
Gambar: Space Perspective

600 Tiket Perjalanan Ke Angkasa Lepas Bernilai Setengah Juta Terjual

Sebanyak 600 keping tiket bernilai setengah juta untuk perjalanan ke angkasa lepas berjaya dijual oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat.

Space Perspective dikatakan telah menjual tiket dengan nilai keseluruhan $125,000 (sekitar RM528,812) untuk perjalanan ke pinggir angkasa tersebut.

Perjalanan berkenaan dijangka bermula pada tahun 2024 dan penumpang dijangka menempuh perjalanan sehingga 20 batu (kira-kira 32 kilometer) di atas permukaan bumi.

Kabin lengkap sambungan Wi-Fi

Minggu ini, Space Perspective turut menunjukkan ilustrasi mewah kabin ‘Neptune‘ mereka yang bakal mengambil bahagian dalam perjalanan ke permukaan bumi.

Kapsul itu mempunyai tingkap setinggi lima kaki (kira-kira 1.5 meter), dengan tempat duduk yang selesa. Ia turut dikelilingi cahaya redup berwarna ungu yang sangat menenangkan.

Selain itu, kapsul ini menyediakan sambungan Wi-Fi dan ‘Space Lounge‘ yang membolehkan penumpang memesan minuman.

“Pasukan kami mencipta bahagian dalaman untuk mengoptimumkan reka bentuk dan prestasi kapsul bertekanan ‘Neptune‘ ini,” ujar Space Perspective memetik laporan Metro UK.

Tambah syarikat berkenaan, reka bentuk dalaman Neptune menerapkan persekitaran yang tenang dan berbeza dengan kapal angkasa pada umumnya.

“Matlamat kami adalah menerapkan reka bentuk dalaman yang mesra, dengan kerusi santai yang selesa, mod pencahayaan dan juga tumbuh-tumbuhan herba seperti lavender, basil dan rosemary yang boleh digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.

“Ia mewujudkan persekitaran yang menenangkan untuk berehat dan bertentangan dengan dalaman utilitarian putih terang yang anda temui pada kapal angkasa lain (pandangan kebanyakan orang tentang rupa dalaman kapal angkasa),” jelas Space Perspective.

Belon udara itu bakal bergerak naik pada kelajuan 12 batu sejam (kira-kira 19.3 kilometer sejam).

Penumpang mungkin akan mengalami sedikit vertigo, namun bakal mempunyai lebih banyak masa untuk melihat keindahan bumi dari dalam kapsul.

Ia juga adalah salah satu penerbangan ke angkasa paling mesra alam kerana tidak menggunakan bahan bakar yang banyak seperti roket.

Sumber: Metro UK

Eyla Azri