Siakap Keli
berpuasa berkata-kata
Gambar Hiasan via Google

Hukum Berpuasa Dari Berkata-kata Seperti Saidatina Maryam, Boleh Ke Amal? Ini Penjelasan Mufti

Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan ibadat yang merangkumi pelbagai aspek selain menahan diri dari lapar dan dahaga.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa menahan diri dari berkata-kata seperti yang diamalkan Saidatina Maryan turut termasuk dalam salah satu bentuk ‘puasa’.

Bagi menjawal persoalan ini, Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi tampil memberi penjelasan. Ikuti perkongsian penuh di bawah.

Berpuasa dari berkata-kata

Berpuasa daripada berkata-kata merupakan satu bentuk syariat yang diamalkan pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa.

Syariat ini turut diperintahkan oleh Allah SWT kepada Saidatina Maryam setelah beliau melahirkan Nabi Isa A.S.

Namun ia tidak disyariatkan kepada kita umat Nabi Muhammad SAW, bahkan Baginda melarang kita daripada tidak bercakap sepanjang hari.

Selain itu, perbuatan diam dan tidak bercakap sebagai satu bentuk ibadat menyerupai amalan golongan jahiliyah, sebaliknya kita dituntut untuk melazimi zikir dan bercakap perkara yang baik.

Memelihara lisan daripada perkara batil dan sia-sia

Islam menganjurkan umatnya agar memelihara lisan daripada mengucapkan kata-kata yang batil seperti menipu dan maki hamun, dan memperingatkan bahawa apa jua yang diucapkan akan dicatat dan dihitung pada hari akhirat kelak. Firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Surah Qaf (18)

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW ada berpesan supaya mengucapkan kata-kata yang baik sahaja, atau diam jika tiada keperluan:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka dia hendaklah bercakap yang baik-baik sahaja, atau diam.

Sahih Muslim (47)

Diam sebagai satu bentuk ibadat?

Diam daripada berkata-kata merupakan satu bentuk puasa dalam syariat umat terdahulu. Firman Allah SWT:

فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا

Maksudnya: “…katakanlah (wahai Maryam): Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

Surah Maryam (26)

Syeikh Wahbah al-Zuhaily ketika mentafsirkan ayat ini menukilkan pandangan Ibn Zaid dan al-Suddi:

كَانَتْ سُنَّةُ الصيامِ عِنْدَهُم الإمساكَ عَنْ الكَلَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya kaedah berpuasa di sisi mereka (umat pada zaman tersebut) adalah dengan menahan diri daripada berkata-kata.

Ibn Abi Hatim dan Ibn Jarir pula meriwayatkan daripada Harithah bahawa pada suatu hari beliau bersama Ibn Mas’ud didatangi oleh dua orang lelaki, lalu salah seorang daripada mereka memberi salam dan seorang lagi tidak.

Ibn Mas’ud bertanya: Apa yang berlaku kepada engkau? Para sahabatnya menjawab: Dia telah bersumpah untuk tidak bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

Lalu Ibn Mas’ud berkata: Bercakaplah dengan orang, dan berilah salam kepada mereka. Sesungguhnya wanita itu (maksudnya Saidatina Maryam) tahu bahawa orang tidak akan percaya kepadanya bahawa dia telah hamil tanpa berkahwin.

Oleh itu, puasanya daripada bercakap itu menjadi alasan kepadanya untuk tidak menjawab apabila ditanya.

Oleh yang demikian, menurut Syeikh Wahbah lagi, jika seseorang itu bernazar untuk tidak bercakap dengan sesiapa, maka ia hanya disyariatkan dalam syariat Nabi Musa dan Nabi Isa, tapi tidak demikian dalam syariat Nabi Muhammad SAW, kerana ia merupakan satu bentuk menyempitkan dan menyeksa diri sendiri.

Dalam isu ini, Imam al-Nawawi telah mengkhususkan satu bab dalam kitab al-Azkar dengan judul “Bab Larangan daripada Diam Tanpa Bercakap Dari Siang Hingga Malam”, dan beliau memulakannya dengan hadis riwayat Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُتْمَ بَعْدَ احْتِلَامٍ وَلَا صُمَاتَ يَوْمٍ إِلَى اللَّيْل

Maksudnya: Tidak dikira yatim selepas akil baligh, dan tidak boleh diam tanpa bercakap dari siang hingga ke malam.

Sunan Abi Dawud (2873)

Kata Imam al-Khattabi ketika menjelaskan hadis ini: Antara kaedah ibadat bagi masyarakat jahiliyah ialah diam iaitu tidak berkata-kata dengan sesiapa pun.

Ada dalam kalangan mereka yang duduk dan tidak bercakap dari pagi hingga ke malam.

Umat Islam dilarang daripada melakukan hal tersebut, sebaliknya diperintahkan untuk berzikir dan bercakap perkara-perkara yang baik.

Berdasarkan hujah-hujah berkenaan, Mufti menyimpulkan bahawa berpuasa daripada berkata-kata merupakan satu bentuk syariat yang diamalkan pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa.

Amalan berpuasa dari berkata-kata ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada Saidatina Maryam setelah beliau melahirkan Nabi Isa A.S.

Pun begitu, ia tidak disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW, bahkan Baginda melarang kita daripada tidak bercakap sepanjang hari.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Eyla Azri