Siakap Keli
bantuan johor
Gambar Hiasan via Bernama

Pasangan Raja Sehari Di Johor Bakal Terima Bantuan RM1,000

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada pasangan raja sehari di negeri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pengumuman Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) semalam.

Pasangan yang berkahwin buat pertama kali dengan pendapatan bersama RM5,000 ke bawah dijangka mendapat insentif berkenaan yang dijangka memanfaatkan 10,000 penerima.

Insentif di bawah kategori orang muda Johor ini turut menawarkan bantuan Geran Southern Volunteers dengan peruntukan RM800,000, Geran Majlis Belia Negeri Johor (RM200,000), Geran Dewan Muda Johor (RM200,000).

Selain itu, bantuan RM300 bakal diberikan kepada pekerja ekonomi gig seperti pemandu teksi, e-hailing dan penghantar makanan di bawah kategori kemasyarakatan.

Turut termasuk dalam kategori sama adalah bantuan geran kepada Persatuan Pesara Polis Negeri Johor dan bantuan beras 10 kilogram kepada setiap isi rumah di Johor.

Bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM400 akan diserahkan kepada golongan fakir dan RM300 kepada golongan miskin.

“Selain itu, pengecualian sewa rumah program perumahan rakyat (PPR) bagi tahun 2022 kepada 11,511 penyewa, yang melibatkan dana sebanyak RM 22.25 juta.

“Bagi Rumah Sewa Kerajaan pula, pengecualian sewa rumah kerajaan diberikan bagi tahun 2022 kepada 3,020 penyewa, yang melibatkan dana sebanyak RM3.95 juta,” katanya.

Turut diteruskan ialah pengecualian bayaran sewa premis dan gerai milik pihak berkuasa tempatan selama 12 bulan, melibatkan dana sebanyak RM26.18 juta dan bakal memberi manfaat kepada 50,830 penerima.

Bagi merancakkan sektor pelancongan, bantuan RM2,000 bakal diberikan kepada 98 operator hotel bajet dan 98 agensi pelancongan, manakala bantuan RM1,000 untuk 635 pemandu pelancong, 386 pengusaha homestay dan 82 pengusaha bot pelancongan.

“Kerajaan negeri Johor sedar dan insaf bahawa masih ramai yang masih memerlukan bantuan dan sokongan.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk menyantuni dan membantu setiap lapisan Bangsa Johor,” jelas Onn Hafiz dalam sidang media semalam.

Sumber: Onn Hafiz Ghazi, Bernama

Eyla Azri