Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Jatuh Tingkat 18

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat 18 sebuah kondominium awal pagi tadi.

Mangsa berusia empat tahun yang tindilaporkan terjatuh dari salah satu unit di tingkat berkenaan ketika ibunya tiada di rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, polis menerima laporan daripada orang awam yang menemui mangsa kira-kira jam 2 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibiarkan tidur bersendirian tanpa pengawasan manakala ibunya telah keluar dari rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelas Ashari, penghuni lain di dalam kediaman tersebut tidak menyedari mangsa ditinggalkan sendirian dan mereka sedang tidur di bilik masing-masing ketika insiden berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut.

Tambah Ashari, pihak polis menasihati ibu bapa agar tidak meninggalkan anak kecil seorang diri tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Sumber: Sinar Harian

Eyla Azri