Siakap Keli
ibu bunuh diri
Gambar hiasan via Google

Ibu Bunuh Diri & Anak Kecil Mati Keracunan, Disyaki Kecewa Kerana ‘Orang Ketiga’

Seorang ibu tekad mengakhiri hidupnya dengan sangat tragis bersama-sama dua anaknya dengan bunuh diri disyaki kerana ‘orang ketiga’, lapor Tribun News.

Menurut Tribun News, wanita tersebut yang berumur 29 tahun dilapor meracuni kedua-dua anaknya sebelum dia menggantungkan dirinya sendiri.

Difahamkan, kejadian tragis itu dilapor berlaku di rumah sewa mangsa di Perum Cibunar di Garut, Jawa Barat pada pagi Sabtu 16 April baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Whirdhanto Hadicaksono berkata, kedua-dua anak mangsa yang masih kecil itu masing-masing baru berusia lima tahun dan 11 bulan.

Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua kanak-kanak malang itu telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira lapan jam sebelum mayat mereka ditemui.

“Hasil bedah siasat yang telah dilakukan merungkai sebab kematian dari ketiga-tiga mangsa. Anak-anaknya meninggal dunia kerana keracunan.

“Sedangkan si ibu (mangsa utama) meninggal dunia dipercayai kerana bunuh diri dengan cara gantung diri yang menyebabkan bahagian lehernya terjerut,” katanya, memetik Tribun News.

Berdasarkan siasatan polis, racun yang digunakan mangsa dipercayai adalah merupakan campuran jus buah naga bersama dengan sabun pencuci pinggan.

Difahamkan, hal tersebut disahkan melalui cap jari mangsa yang terdapat pada gelas yang berisi jus buah tersebut.

Tambah Whirdhanto, ketika suami mangsa menemukannya, mangsa sudah terbaring di atas lantai berdekatan dengan pintu bilik.

Manakala kedua-dua anak mereka pula didapati terbaring di atas katil dalam bilik tersebut dalam keadaan kaku.

Sempat kirim pesanan terakhir buat suami

Selain itu, berdasarkan bukti yang berjaya ditemui, mangsa dipercayai sempat melakukan panggilan sebanyak tujuh kali kepada suaminya yang ketika itu berada di luar kota.

Menurut Wirdhanto, panggilan tersebut dilakukan pada petang Jumaat setelah usai Maghrib.

“Dia melakukan panggilan kepada suaminya sebanyak tujuh kali sekitar jam 6.35 petang hingga 18.40 petang waktu tempatan,” jelasnya, lapor Tribun News.

Sementara itu, menurut Tribun, sebelum meninggal dunia bersama kedua-dua anaknya, mangsa sempat mengirimkan pesanan terakhir buat suaminya.

Dalam pesanan tersebut, mangsa meluahkan rasa kecewanya terhadap orang ketiga dalam rumah tangga mereka yang didakwa menjadi punca kelakuan tekadnya itu.

“Kami menemukan bukti pesanan ringkas dari mangsa yang dihantar kepada suaminya pada hari Jumaat 15 April pukul 6.30 petang.

“Isi pesanan tersebut mengatakan bahawa dia (mangsa) mempersilakan suaminya untuk hidup berdua dengan wanita yang baru atau pasangan curangnya,” katanya lagi, lapor Tribun News. 

Dalam pesanan tersebut juga, mangsa turut menegaskan bahawa wanita ‘orang ketiga’ tersebut adalah punca sebenar rumah tangga mereka hancur.

Disebabkan itu, mangsa menerusi pesanan terakhir tersebut ‘berlapang dada’ meminta suaminya agar melupakan dirinya dan kedua-dua anaknya.

“Berbahagialah kamu dengan ***** bang. Apa yang dia minta, kamu berikan. Semoga kamu berjodoh, susah dan senang kamu dengan dia.

“Lupakan kami bertiga, aku dan anak-anak. Dialah yang lebih penting daripada aku dan anak-anak, terima kasih,” tulis mangsa pada pesanan tersebut, lapor Tribun News.

Sumber: Tribun News

Faiz Mustafa