Siakap Keli
maut lif
Gambar via Facebook

Pemuda Maut Dihempap Lif Pada Hari Pertama Bekerja

BINTULU – Seorang lelaki dilapor maut selepas terjatuh dari lif yang menjunam dari tingkat tiga pada hari pertamanya bekerja.

Ketika kejadian, lelaki berusia 18 tahun itu sedang memindahkan kotak di hari pertamanya bekerja sebagai kakitangan sebuah pasar raya pada 11 April lalu, lapor Mothership.

Menerusi sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dapat dilihat sebuah lif terbuka yang bergerak turun ke bawah, menyebabkan beberapa buah kotak terjatuh di atas bumbung lif.

Tak lama selepas itu, lelaki berkenaan bersama salah seorang rakan sekerjanya mula memindahkan kotak-kotak yang terjatuh di atas bumbung lif.

Namun ketika lelaki itu mengalihkan kotak terakhir, lif tiba-tiba menjunam ke bawah dan mangsa turut sama terjatuh dari tingkat tiga.

Menurut portal AsiaOne, pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mayat mangsa dari sisi lif dan lelaki itu dilaporkan maut di tempat kejadian.

Lelaki yang baharu saja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu meninggalkan ibu bapanya, seorang kakak berusia 23 tahun dan seorang abang berusia 20 tahun.

Ibu mendiang lelaki berkenaan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang patuh. Walaupun tidak disuruh mencari kerja, lelaki itu menerima pekerjaan di pasar raya tersebut untuk membantu kewangan keluarga mereka.

Ibunya mengaku sempat menyediakan sarapan kepada si anak seawal 6.30 pagi sebelum lelaki tersebut berangkat ke tempat kerja untuk menjalani hari pertamanya.

Setelah kemalangan ngeri yang menimpa lelaki malang itu, ahli keluarganya walaubagaimanapun tidak dapat menuntut mayat mendiang kerana lelaki berkenaan disahkan positif COVID-19.

Sumber: Latin Times

Eyla Azri