Siakap Keli
fasiliti nuklear israel
Gambar via BBC/Daily Star

Fasiliti Nuklear Israel ‘Diserang’ Landak Perosak

Sebuah fasiliti nuklear paling ‘terahsia’ di Israel berada dalam ancaman bahaya gara-gara ‘diserang’ landak perosak yang menjadikan kawasan itu sebagai ‘rumah’ mereka.

Menurut Daily Star, Pusat Penyelidikan Nuklear Shimon Peres di Negev, Tel Aviv itu mula didatangi kawanan landak sejak beberapa tahun yang lalu.

Difahamkan, pada awalnya haiwan itu datang sebagai satu kumpulan yang kecil, namun ia telah membiak dan semakin banyak hingga mencapai puluhan ekor.

“Makhluk tersebut mungkin akan membahayakan kakitangan yang lalu lalang di kawasan tersebut.

“Baru-baru ini seorang tukang kebun di kawasan itu telah mengalami kecederaan menurut laporan berita tempatan,” lapor Daily Star.

Menurut kakitangan di sana, Orit dan David, haiwan itu juga telah menyebabkan kerosakan dengan menggali kawasan bawah tanah bangunan, selain turut merosakkan paip air menggunakan gigi mereka.

“Kami telah cuba melawan mereka bertahun-tahun tetapi masih tiada perubahan yang berlaku.

“Mereka menggali lubang di halaman hingga ke dalam tanah untuk membuat lubang yang baru.

“Kami tidak lagi menanam bunga di kawasan kem kerana mereka akan musnahkan semua tanaman seperti yang dilakukan ke atas tanaman sawit kami,” katanya, lapor Daily Star. 

Sementara itu, pakar ekologi, Zahava Sigal berkata, landak merupakan haiwan yang bersifat opportunistic, mereka akan ambil kesempatan yang ada tanpa ‘segan silu’.

“Landak memerlukan tanah yang sesuai untuk digali dan sumber air yang banyak.

“Sebaik sahaja mereka sedar orang-orang di Negev menyediakan keperluan mereka, mereka mengambil kesempatan dengan tinggal dan membiak di situ.

“Selain banyak sumber makanan, kawasan itu juga merupakan kawasan yang selamat dari ancaman,” katanya, lapor Daily Star. 

Untuk rekod, pada tahun 2010 dan 2017 lalu, sebanyak 100 ekor landak telah ditangkap dan dipindahkan ke kawasan lain dengan bantuan Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel.

Namun, pihak berkuasa telah meminda peraturan dengan dakwaan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan mereka dan ia tetap akan kembali ke sana bila dilepaskan.

Sumber: Daily Star

Faiz Mustafa