Siakap Keli
PLUS
Gambar hiasan via Bernama

PLUS Senarai Waktu Cadangan Masuk Lebuh Raya, Elak Lepas 10 Pagi

PLUS senarai waktu cadangan untuk orang awam masuk ke lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan di sepanjang perjalanan.

Orang awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi perjalanan arah utara dan selatan disaran untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi, umum PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Ketua pegawai operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar sebagai panduan pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Menurut Zakaria, TTA yang dikeluarkan tersebut adalah bagi perjalanan di lebuh raya untuk tempoh 29 April ini sehingga 9 Mei depan.

“TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

“Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang,” maklum kenyataan tersebut hari ini.

Difahamkan, kira-kira sebanyak dua juta kenderaan dijangka akan melakukan perjalanan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan pada kali ini.

Menurut PLUS, angka tersebut mencatat peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah biasa kenderaan dalam sehari iaitu hanya 1.6 juta sahaja.

“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda.

“Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar,” katanya.

Menurutnya, di samping jadual TTA, pelanggan juga turut disaran untuk menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps bagi mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik.

Sebarang maklumat trafik terkini boleh dirujuk menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000 dan Chatbot PUTRI.

Orang awam juga boleh merujuk papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

Berikut di bawah adalah jadual TTA seperti yang disaran PLUS sebagai rujukan pelanggan untuk perayaan Aidilfitri kelak.

Faiz Mustafa