Siakap Keli
tradisi unik ramadan
Gambar: Tribun Jambi, Liputan6 via Google

Tradisi Unik Yang Hanya Ada Ketika Ramadan Di Kebanyakan Negara Islam

Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai tradisi unik yang diamalkan oleh umat Islam di kebanyakan negara ketika menyambut bulan Ramadan?

Bulan Ramadan merupakan bulan yang bermakna bagi seluruh umat Islam kerana ia penuh dengan keberkatan dan ketenangan. Pelbagai negara di seluruh dunia turut mempunyai pelbagai cara yang berbeza dan tradisi khas sempena kelangsungan bulan suci ini.

Indonesia

Antara negara yang mempunyai tradisi unik menjelang dan ketika Ramadan ialah Indonesia. Indonesia mempunyai ramai rakyat yang beragama Islam. Di beberapa wilayah Indonesia, orang-orang yang beragama Islam melakukan pelbagai ritual untuk membersihkan diri mereka menjelang bulan puasa.

Di Jawa Tengah dan Jawa Timur, penduduk di sana mempunyai tradisi penyucian yang disebut sebagai “Pandusan” yang membawa maksud “Mandi” dalam bahawa Jawa. Kebiasaannya, masyarakat akan pergi ke mata air dan mandi bermula dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.  Dikatakan, mata air mempunyai makna yang spiritual dalam budaya Jawa.

Gambar: Tribun Jambi via Google

Mereka percaya bahawa air merupakan sebahagian daripada penyucian diri selama dalam bulan Ramadan. Tradisi ini dikatakan pertama kali disebarkan oleh sekumpulan tokoh agama Islam pertama yang menyebarkan agama islam di Jawa.

Di Jakarta, Kali Ciliwung merupakan tempat di mana penduduknya melakukan tradisi ini. Menurut penduduk di sekitar, Kali Ciliwung membawa air yang berkat kepada sesiapa yang menggunakannya. Namun begitu, akibat daripada kualiti air sungainya yang semakin merosot, tradisi ini semakin ditinggalkan oleh penduduk disekitar.

Iraq

Menjelang awal Ramadan, rakyat Iraq mula melakukan tradisi yang disebut “Mhebibes“. Perkara yang unik mengenai Mhebibes ini merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kaum lelaki.

Biasanya, selepas berbuka puasa bersama keluarga, para lelaki di kebanyakan kawasan Iraq akan berkumpul beramai-ramai untuk bermain Mhebibes. Untuk pengetahuan, nama tradisi perayaan ini dinamakan  bersempena nama permainan Mhebibes.

Permainan ini melibatkan dua kelompok yang terdiri daripada 40 hingga 250 pemain. Cara permainannya agak mudah, iaitu seorang dalam satu kumpulan akan menyembunyikan cincin.

Untuk pihak lawan, mereka perlu meneka siapakah yang menyembunyikan cincin tersebut. Dalam menentukan siapa yang menyembunyikan cincin itu, pihak lawan perlu menggunakan bahasa tubuh dalam menyampaikan jawapan. Namun, bagaimana pula cincin itu disembunyikan?

Seseorang dalam kumpulan itu perlu menutupi tubuhnya dengan selimut, kemudian bergerak menuju ke arah ahli kumpulannya dan menyentuh satu persatu tangan ahli kumpulan sambil menyerahkan cincin.

Gambar: Risma Mualifa’s Blog via Google

Selimut itu tadi digunakan untuk menutupi tangan orang yang membawa cincin itu, bertujuan supaya pihak lawan tidak akan mengetahui siapa yang menyimpan cincin tersebut.

Setiap ahli kumpulan akan membuat pelbagai reaksi muka untuk mengelirukan pihak lawan. Jika mereka meneka jawapan yang salah, kumpulan yang menyimpan cincin tersebut mendapat satu markah dan begitu juga sebaliknya.

Turki

Di Turki pula, rakyat yang beragama Islam akan dikejutkan untuk bersahur oleh pengetuk gendang. Ketika waktu malam, kira-kira 1 jam sebelum matahari terbit, para pengetuk ini akan berjalan mengelilingi kampung sambil memukul gendang.

Alatan muzik yang digunakan mereka disebut sebagai “Davul”. Mereka akan menyanyikan muzik dan bersyair untuk membangunkan orang ramai. Yang uniknya, mereka berpakaian tradisional Turki yang dipanggil sebagai “ottoman“. Pengetuk gendang ini akan berkongsi makanan dengan penduduk setempat.

Gambar: Liputan6.com via Google

Kerajaan Turki telah membuat kad keanggotaan untuk pengetuk gendang bagi menanam rasa bangga kepada mereka yang bermain dan untuk generasi muda terus menjaga tradisi kuno ini.

Kota Sarajevo

Kota Sarajevo merupakan ibu kota Bosnia Herzeg0vina. Tradisi yang dilakukan oleh penduduk itu adalah mendengarkan bunyi dentuman dari meriam yang berusia ratusan tahun. Pada tahun 1977, Smail Krivic memulakan tradisi ini. Menurut beliau, meriam memiliki daya tarikan kepada orang, terutamanya pelancong untuk berkunjung di Sarajevo.

Dikatakan, masyarakat rela untuk berjalan kaki dan berkumpul di satu tempat semata-mata untuk mendengar dentuman meriam itu. Biasanya, mereka akan berkumpul di Yellow Bastion yang dahulunya merupakan bangunan pertahanan semasa zaman pemerintahan Uthmaniah pada abad ke-18. Bunyi meriam menandakan waktu berbuka puasa diiringi dengan laungan azan. Menurut masyarakat Sarajevo, meriam dianggap membawa keharmonian.

Gambar: MerahPutih via Google

Kebiasaannya, mereka datang berkumpul siap membawa meja kecil dan makanan untuk berbuka. Makanan yang dihidangkan terdiri daripada juadah tradisonal Bosnia seperti “Somun” iaitu sejenis roti yang disajikan sepanjang bulan Ramadan beserta air lemon. Ketika meriam ditembak, suara gema menderu dari bukit ke penjuru kota. Dentuman yang kuat itu kadangkala membuatkan orang yang berkumpul di situ terkejut, namun setelah itu mereka bersorak gembira.

Mesir

Menjelang Ramadan, masyarakat di Mesir mempunyai tradisi unik yang tersendiri.  “Lampu Fanous” adalah lampu yang wajib ada di setiap rumah. Masyarakat Mesir memanggil lampu ini sebagai lampu Ramadan. Perkataan Fanous ini berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud “lilin” atau “cahaya” dan “pelita”. Menurut sejarah, ia membawa simbol sebagai harapan, misalnya cahaya yang menerangi di dalam kegelapan.

Lampu Fanous mula diperkenalkan oleh orang Mesir sewaktu Khalifah Kerajaan Fatimiyah, Al Muiz Lidinillah Al Fatimiyy ke kota Kaherah dalam bulan Ramadan tahun 358 Hijiri iaitu pada waktu Maghrib. Kemudian, rakyat Mesir keluar menyambut kedatangan beliau dengan lampu Fanous dan pelita yang berwarna-warni.

Gambar: ALHIJRAH ONLINE via Google

Lampu ini akan menyinari sepanjang jalan ketika bulan Ramadan. Namun jika pergi ke kedai untuk meminta peralatan Fanous ketika selain Ramadan, orang tempatan akan kehairanan melihat anda. Sehubungan itu, sehingga kini lampu Fanous itu kekal sebagai simbolik ketibaan Ramadan, tradisi dan kegembiraan rakyat Mesir ketika menyambut bulan mulia itu.

Qatar

Festival “Garangao” di Qatar merupakan festival kanak-kanak. Ia bertujuan memberikan semangat kepada kanak-kanak untuk berpuasa penuh sepanjang bulan puasa. Kebiasaannya, festival ini diadakan pada hari ke-13, 14 dan 15 Ramadan.

Istimewanya, kanak-kanak lelaki akan memakai baju fesyen Arab yang bewarna hitam dan emas yang bersulamkan warna merah. Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka akan memakai jubah tradisional yang dipanggil “Disdaashas” yang bewarna terang dan dipakaikan dengan tudung warna hitam lutsinar yang dihiasi dengan benang emas.

Gambar: I Love Qatar via Google

Kanak-kanak ini akan berjalan di sepanjang jalan dan seterusnya mengunjungi rumah-rumah orang. Apabila kanak-kanak ini melawat sesebuah rumah secara berkumpulan, tuan rumah akan memberikan manisan dan gula-gula kepada mereka yang disimpan di dalam kantung yang dibawa bersama.

India

Di India, Ramadan disebut sebagai “Ramazan”. Menariknya, ketika bulan Ramadan, para lelaki Muslim di India akan berhias sepanjang bulan mulia ini. Kaum lelaki akan menghiasi mata mereka dengan celak mata atau dikenali sebagai “Bohl”, yang mana pemakaiannya adalah salah satu tradisi yang berasal dari Yaman.

Gambar: EraMuslim via Google

Pada waktu sahur,  masyarakat muslim India akan bersahur dengan minum air yang diperbuat daripada kacang-kacang atau biji-bijian yang disebut sebagai “Harir”. Dikatakan, minuman ini mampu memberikan tenaga kepada orang yang berpuasa pada hari tersebut.

Ternyata, terdapat banyak tradisi unik yang disambut ketika ramadan. Di Malaysia juga terdapat pelbagai tradisi mengikut negeri. Hal ini membuatkan bulan Ramadan ini istimewa dengan keunikan dan berbeza dengan bulan-bulan lain.

Sumber: Siakap Keli

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?