Siakap Keli
kanak kanak

‘Penderaan’ & ‘Pengabaian’ Kanak-kanak OKU, Apa Bezanya? Ini Hujah Dari Kaca Mata Peguam & NGO

Kanak-kanak diibaratkan orang yang baru mengenali dunia. Mereka lebih cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti sama ada dalam rumah mahupun luar rumah.

Sehubungan itu, mereka memerlukan lebih pengawasan daripada ibu bapa ataupun penjaga bagi mengawasi dan membentuk mereka menjadi insan yang mulia.

Namun, sejak Covid-19 melanda, ramai orang kehilangan kerja dan mengambil inisiatif menjadi pengasuh. Melihat kepada statistik kes penderaan yang berlaku di Selangor sahaja, sudah melebihi 2,000 kes dalam masa setahun dari 2020 hingga 2021.

Isu ini tidak boleh dipandang mudah kerana kanak merupakan aset negara yang perlu dijaga. Walaupun sebagai Golongan Kurang Upaya (OKU) sekalipun, mereka juga mempunyai hak untuk menjalani hidup seperti manusia biasa dan bukannya dilayan seperti bukan manusia.

Melalui perkongsian yang dibawakan oleh Siakap Keli TV bersama tetamu jemputan, Encik Zaini (Pengasas Pertubuhan Kebajikan Pondok OKU) dan Puan Zabetha (peguam) baru-baru ini, mereka membincangkan mengenai isu “perbezaan penderaan dan pengabaian kanak-kanak istimewa”.

Jadi artikel pada kali ini adalah petikan daripada kenyataan-kenyataan yang dilontar oleh kedua-dua panel berkenaan – daripada sudut pandang seorang peguam serta pengurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semoga kupasan ini bermanfaat.

‘Penderaan’ & ‘Pengabaian’ Kanak-kanak OKU, Apa Bezanya?

Ramai masyarakat menganggap tiada perbezaan antara orang tidak berkeupayaan teruk dan OKU. Namun, ia merupakan tanggapan yang salah kerana terdapat perbezaan antara dua golongan ini.

Orang tidak berkeupayaan bermaksud golongan yang berada dalam keadaan tidak mempunyai kaki dan tangan secara bersamaan sehingga memerlukan bantuan orang lain untuk hidup.

Manakala, Orang Kurang Upaya (OKU) pula mempunyai kecacatan dari segi mental, fizikal atau intelektual yang membatasinya untuk berdepan atau berada dalam kalangan masyarakat.

Jika dilihat daripada kes penderaan yang berlaku, terdapat pelbagai faktor yang meyumbang kepada berlakunya kes sebegini dalam masyarakat kita. Kurang didikan agama merupakan salah satu faktor yang mneyumbang kepada kes ini.  Hal ini kerana, agama itu sendiri membentuk sahsiah diri.

Jadi bagaimana pula mereka yang kurang arif dalam agama mampu mendidik golongan kanak-kanak ini dengan wajar. Tambahan pula, kurangnya pengetahuan dalam asas batas pergaulan atau mahram membawa kepada penganiayaan seksual yang banyak berlaku diluar sana.

Selain itu, sebahagian ibu bapa menggunakan kaedah yang salah dengan mendidik secara kasar. Bagi mereka, dengan memarahi anak-anak akan berasa takut dan patut kepada mereka. Sepatutnya, anak-anak ini perlu dididik dengan penuh kasih sayang.

Aspek kemanusiaan dan kurangnya ilmu pengetahuan juga boleh mendorong penganiayaan kepada kanak-kanak dan OKU. Tidak semua orang mempunyai rasa sifat simpati dan empati  di dalam diri mereka. Oleh itu, mereka tergamak melakukan perkara yang diluar pemikiran kita.

Tambahan pula, kurang ilmu tentang asas mendidik kanak-kanak juga membuatkan kes dera ini melonjak naik. Hilang sabar akibat pelbagai karenah budak tidak dapat diselesaikan oleh mereka bakal mengundang penganiayaan terhadap budak.

Pengabaian dan penderaan juga berbeza tafsirannya. Pengabaian terhadap kanak-kanak merujuk kepada penjaga yang tidak melakukan “Active action”, misalnya membiarkan anak mandi di kolam berenang secara bersendirian tanpa pengawasan.

Penderaan pula merangkumi skop penganiayaan terhadap budak seperti mengabaikan makan, minum dan tempat tinggal mereka.

Bercakap tentang kanak-kanak OKU, perwatakan mereka sedikit berbeza dengan kanak-kanak normal. Hal ini kerana sesetengah daripada mereka sedikit lambat dari segi fizikal, mental dan intelektual. Namun mereka juga perlu dilayan sama rata seperti kanak-kanak yang lain.

Selain itu, sekiranya kes penderaan dibicarakan, keterangan yang diberikan oleh kanak-kanak juga boleh diambil kira. Mungkin ramai yang bersangka bahawa keterangan kanak-anak tidak boleh diambil kira kerana mereka masih tidak dapat membezakan pelbagai perkara.

Pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi mencegah dan mengurangi kes penderaan kanak-kanak, contohnya melalui inisiatif CCTV. Dengan adanya CCTV, kedua-dua belah pihak mendapat pembelaan jika berlaku perkara yang tidak diingini dan boleh dijadikan sebagai bukti.

Bagi mereka yang mahu bekerja sebagai pengasuh, mereka juga perlu mengetahui tentang asal dalam penjagaan kanak-kanak kerana golongan tersebut penuh dengan telatah dan karenah tersendiri.

Kesimpulannya, kanak-kanak OKU dan kanak-kanak normal perlu diberikan kasih sayang dan bukannya penderaan atau kekerasan terhadap mereka. Mereka juga selayaknya dilayan seperti orang lain. Hal ini kerana setiap perbuatan kita pada waktu sekarang mencerminkan apa yang bakal kita terima pada masa akan datang.

Jika anda mahu menonton semula perbahasan ini, boleh lihat pada pautan yang disertakan di bawah.

Sumber: Siakap Keli Tv 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?