Siakap Keli

Chelsea Dapat Pemilik Baharu, Dijual Kepada Billionaire Amerika Lebih RM 21 Bilion

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC sah dijual kepada sebuah konsortium yang diterajui oleh billionaire Amerika Syarikat, Todd Boehly.

Menurut kenyataan rasmi kelab, konsortium berkenaan membayar sebanyak USD 5.24 bilion (RM 21 bilion) bagi merealisasikan pengambilalihan tersebut.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM 13.48 bilion digunakan bagi membeli saham-saham kelab dan akan disalurkan ke sebuah akaun yang dikawal oleh kerajaan United Kingdom. Amaun berkenaan akan disalurkan kepada mangsa perang di Ukraine seperti yang dimaklumkan oleh pemilik kelab terdahulu, Roman Abramovich.

Pemilik baharu kelab juga menyatakan komitmen untuk melabur kira-kira RM 9.44 bilion bagi kepentingan kelab seperti pembangunan stadium Stanford Bridge, pasukan akademik dan wanita selain disalurkan ke Yayasan Chelsea.

Urusan pengambilalihan ini dijangka akan diselesaikan menjelang Mei ini, tertakluk kepada kelulusan yang diberikan oleh kerajaan.

Terdahulu, Chelsea telah dikenakan sekatan setelah Abramovich dikenal pasti sebagai salah seorang individu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Dalam sekatan tersebut, Chelsea antaranya tidak dibenarkan mendatangkan pemain baharu uatu memperbaharui kontrak pemain sedia ada. Manakala, bahagian perniagaan kelab juga diarah berhenti operasi.

United Kingdom telah mengenakan sekatan kepada syarikat-syarikat dan individu-individu penting Rusia setelah negara itu mengambil keputusan untuk menceroboh dan melaksanakan operasi kententeraan khusus ke atas Ukraine.

Sumber: Chelsea FC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.