Siakap Keli
penemuan seekor singa
Gambar Via BBC

Kecoh Penemuan Seekor Singa, Rupa-Rupanya Hanya Gambar Pada Beg

Sebuah perkampungan di Kenya dilaporkan gempar dengan ‘penemuan’ seekor singa  yang sedang ‘menghendap’ di dalam semak samun, iaitu beberapa kilometer dari Taman Negara Mt Kenya.

Bagaimanapun, ‘singa’ itu sebenarnya hanyalah sebuah gambar yang dicetak pada beg beli-belah.

Memetik laporan BBC, tiga orang pegawai hidupan liar diarahkan untuk pergi ke ‘tempat kejadian’ bagi menangkap singa tersebut, namun mereka semua terkejut melihat beg itu.

Difahamkan, seorang petani yang berasal dari kampung Kinyana membuat laporan selepas mendakwa melihat singa yang berkeliaran di luar rumah majikannya.

Pun begitu, beg dengan cetakan gambar singa itu sebenarnya diletakkan sendiri oleh majikannya untuk mengisi beberapa anak pokok alpukat di dalamnya dan mahu menghalangnya daripada kering.

Ketua kampung berkata, walaupun tiada laporan terbaru mengenai singa sesat di kawasan itu, penduduk mengadu bahawa beberapa haiwan ternakan mereka telah hilang.

“Kami mengendalikan kejadian itu dengan penuh berhati-hati dan serius.

“Kami memastikan semua orang selamat terlebih dahulu sebelum pegawai hidupan liar menyiasat mengenai hal tersebut dan mendapati bahawa ia adalah beg,” katanya.

Difahamkan, beg beli-belah itu berada betul-betul di bawah tingkap dan apabila ia dibuka, para pegawai menyedari bahawa ‘singa’ tersebut tidak mempunyai bahagian badan.

Walaupun ia tidak benar, namun Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya tetap memuji penduduk di situ kerana membuat laporan untuk mengurangkan kemungkinan konflik.

BACA: Rumah Diceroboh Singa, Lelaki Nekad ‘Bertarung’ & Bunuh Guna Tangan

Sumber: BBC

Sofea

There's always another side to every story