Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPM Serah Kepada Polis Siasat Penemuan Bungkusan Misteri Di Sekolah Di Negeri Sembilan

Penemuan bungkusan misteri
Kredit: Bernama

MELAKA, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan penemuan bungkusan misteri di beberapa sekolah di Negeri Sembilan semalam, kepada pihak polis.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata, KPM mengambil pendekatan sentiasa berwaspada terhadap sebarang penemuan barangan dalam keadaan mencurigakan di semua sekolah di seluruh negara.

“Jadi, kita mohon untuk semua pengetua, guru besar dan warga sekolah supaya berada dalam keadaan yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam isu-isu yang melibatkan keselamatan sekolah.

“Sekali lagi, kita ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memastikan keseluruhan aspek keselamatan itu diberi keutamaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertemuan Kelab Perempuan Membaca “Fadhlina Membaca” bersama dengan Menteri Pendidikan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin.

Alzafny dilaporkan berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua kotak itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.