Siakap Keli
malaysia airlines

Penumpang MH2710 ‘Kepanasan’, Malaysia Airlines Mohon Maaf

Susulan isu tular sejak semalam, Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku terhadap pesawat MH2710 miliknya.

Malaysia Airlines menerusi satu kenyataan berkata, pesawat dari Kuala Lumpur ke Sandakan yang dijadualkan berlepas pada pukul 10.30 pagi itu mengalami masalah teknikal ketika melakukan ‘push back‘.

Memetik laporan Utusan TV, Malaysia Airlines menjelaskan bahawa pesawat tersebut terpaksa kembali ke ruang menunggu selepas gagal menghidupkan enjin buat kali kedua.

Difahamkan, seorang penumpang pesawat itu juga memerlukan bantuan perubatan kecemasan pada waktu tersebut.

“Malaysia Airlines memohon maaf kerana pendingin hawa tidak dapat berfungsi semasa proses pembaikan dan mengakibatkan kabin berada dalam keadaan yang panas,” kata kenyataan itu.

Ujar syarikat penerbangan itu lagi, kesemua penumpang telah dipindahkan ke pesawat lain.

Mereka berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1.37 petang dan tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang.

Terdahulu, tular di Twitter dan TikTok mengenai satu video yang memaparkan suasana di dalam pesawat, yang memperlihatkan para penumpang terpaksa berpanas kerana enjin pesawat tidak dapat dihidupkan sekali gus menjejaskan penyaman udara.

Sumber: Utusan TV

Sofea

There's always another side to every story