Siakap Keli

Pahang Rekod 1,145 Kes HFMD Setakat 7 Mei

KUANTAN,10 Mei – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) merekodkan 1,145 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga Sabtu lepas, peningkatan enam kali ganda berbanding hanya 190 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu, 138 kes atau 12.1 peratus dikenal pasti berlaku di taska, tadika dan prasekolah, manakala 1,007 kes atau 87.9 peratus adalah kes sporadik.

Beliau berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur kosong hingga enam tahun iaitu 1,093 kes, diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun sebanyak 43 kes dan sembilan kes berlaku pada individu berumur lebih 12 tahun.

“Penyakit ini boleh menjangkiti semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak yang berumur lima tahun dan ke bawah dengan virus merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya JKNP menyarankan pengusaha dan penjaga taska, tadika, tabika dan prasekolah agar sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan serta perkakasan yang digunakan, selain membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda jangkitan HFMD.

Selain itu, Dr Nor Azimi berkata orang ramai dinasihatkan supaya membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak malah jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan serta minuman serta alat mainan anak.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar dan pusat beli-belah,” katanya.

Pada 5 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata berlaku peningkatan ketara kes HFMD dalam negara dengan 22,463 kes dilaporkan hingga Minggu Epid (ME) ke-17/2022 iaitu peningkatan 12.8 kali ganda berbanding ME sama pada 2021 (1,752 kes).

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang