Siakap Keli

“Sehari Sampai 3 Kerja, Tapi Hujung Bulan Tetap ‘Kutip’ Syiling Nak Beli Makanan”

Bukan nak kata apa, dalam kehidupan kita ni sudah pasti ada sahaja komitmen yang perlu diuruskan. Sudah menjadi lumrah kehidupan, jika ada komitmen mestilah kita kena kerja untuk menunaikannya.

Ada yang perlu menjaga keluarga seperti ibu ayah, isteri, mahupun anak-anak. Tidak lupa juga perbelanjaan bulanan seperti barangan keperluan, sewa rumah, ansuran kenderaan dan macam-macam lagi.

Sehari buat 3 kerja

Boleh dikatakan, satu hari sampai 2-3 kerja yang dilakukan. Ada sahaja kerja yang dilakukan bagi menampung perbelanjaan bulanan. Antara pekerjaan yang paling banyak menjadi pilihan semestinya pekerjaan e-hailing dan penghantaran makanan.

kerja
Gambar Hiasan

Sehari sampai 3 kerja, tapi hujung bulan tetap ‘kutip’ syiling nak beli makanan. Ada yang sampai ikat perut, makan sehari sekali lagi-lagi yang sudah berkeluarga terutamanya di bandar.

Jika kita lihat, ada yang terpaksa kerah keringat dari pagi hingga malam. Tetapi tetap kena teruskan pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian. Walaupun ramai yang struggle dengan pekerjaan, ada yang sudah lali dengan memikirkan perkara yang positif. Jadi, tidak salah untuk menghargai pekerja yang bertungkus-lumus memerah keringat setiap hari. Ianya berpatutan dengan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei lepas.

Pekerja adalah individu yang patut dihargai tidak kiralah dalam bidang apa pun. Apa tidaknya, sekiranya tiada pekerja yang menggerakkan operasi bagi sesuatu syarikat, sudah pasti agak sukar untuk memastikan organisasi itu terus kukuh dalam pasaran. Disebabkan itulah, penghargaan perlu diberikan kepada semua pekerja dengan pelbagai jenis cara. Ada yang memberi bonus, ada yang membuat jamuan khas untuk pekerja dan ada juga yang mendedikasikan lagu supaya dapat menaikkan semangat dalam kalangan pekerja.

kerja

BANGGA: Selamat Hari Pekerja 2022

Sebagai tanda penghargaan kepada semua pekerja di seluruh Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menghasilkan sebuah video muzik sempena sambutan Hari Pekerja 2022. Menariknya, video muzik BANGGA ini menampilkan gandingan penyanyi B-Heart dan Andy Flop Poppy.

Video muzik ini merupakan usaha PERKESO untuk menghargai sumbangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh setiap golongan pekerja di negara ini. Tidak kira yang bekerja dalam sektor formal mahupun informal.

Menurut Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, kita seharusnya bangga dengan usaha yang dilakukan oleh golongan pekerja ini.

“Adalah sewajarnya untuk kita menghargai dan merasa bangga dengan usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua golongan pekerja kepada negara.

“Segala usaha yang dicurahkan ini bukan sahaja telah memberikan manfaat dalam pelbagai aspek kepada setiap daripada kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi lebih daripada itu.

“Seharusnya ini dijadikan inspirasi yang meniupkan semangat serta memperkukuhkan keazaman buat diri kita untuk turut sama menyumbang dan memberikan yang terbaik kepada Negara,” kata beliau.

BANGGA Memberikan Inspirasi

Menurut Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Izad Haji Raya pula, beliau berharap agar video ini mampu memberikan inspirasi kepada golongan pekerja di Malaysia untuk bangkit semula membina kerjaya dan kehidupan.

“Inspirasi untuk menghasilkan hadiah istimewa ini bangkit apabila kami mengimbau kembali dugaan pandemik yang melanda negara sejak awal tahun 2020. Justeru, PERKESO berasa terpanggil untuk menzahirkan rasa terima kasih kami kepada golongan pekerja menerusi penghasilan sebuah lagu dengan video muziknya yang turut membariskan golongan barisan hadapan yang bekerja keras dan berkorban untuk negara selama ini. Harapan kami, hadiah istimewa ini juga akan turut memberikan inspirasi dan semangat kepada semua golongan pekerja untuk bangkit kembali membina kerjaya dan kehidupan mereka pasca pandemik ini dan terus menjadi tonggak kepada pemulihan Negara.”

Uniknya, dengan mempertaruhkan gabungan penyanyi rap muda bersama penyanyi dan penulis lagu veteran. Ianya sekali gus membuktikan perbezaan umur bukan penghalang terhadap sebarang bentuk kerjasama dan sinergi dalam mencapai apa jua matlamat.

Untuk maklumat anda, video muzik ‘BANGGA’ telah dilancarkan pada 30 April lalu dan kini boleh ditonton di semua saluran media rasmi PERKESO seperti Facebook, YouTube dan juga Instagram. Jadi, tunggu apa lagi? Jom sama-sama kita dengar dan saksikan lagu dan video muzik BANGGA sempena Hari Pekerja 2022 ini.

Adib Mohd