Siakap Keli
semak kadar asas

OPR: Bank Islam Akan Hantar Surat Pelarasan Ansuran Bulanan Kepada Pelanggan Terlibat

Sejajar dengan pengumuman langkah baharu Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 1.75 kepada 2.00 peratus, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dalam satu notis memaklumkan telah menyemak semula kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR).

Semakan ini masing-masing menunjukkan peningkatan kepada 2.77 peratus dan 5.72 peratus setahun berkuatkuasa pada 17 Mei 2022.

Menurut notis itu lagi, surat berkenaan pelarasan amaun bayaran/ansuran bulanan akan dikeluarkan kepada pelanggan-pelanggan yang terlibat.

Sekiranya pelanggan tidak menerima sebarang surat dari pihak Bank, mereka dinasihatkan untuk mengemaskini alamat surat menyurat, emel dan nombor telefon di mana-mana cawangan Bank Islam yang berhampiran.

Semakan terakhir pada 2020 lalu, melibatkan penurunan BR Bank Islam daripada 2.77 peratus kepada 2.52 peratus manakala BFR diturunkan daripada 5.72 peratus kepada 5.47 peratus.

Sumber: Bank Islam Malaysia

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang