Siakap Keli

Berjuang Lawan Kanser, TUDM Butterworth Tunaikan Hajat Adik Irfan Nak ‘Bergaya’ Dengan Jet Tempur

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Walaupun diuji dengan penyakit kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia), namun remaja berusia 15 tahun ini tidak pernah patah semangat dan memadam cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Adik Irfan pesakit kanser leukemia ALL

Ya, impian dan cita-cita Muhammad Irfan Mikael itu ibarat bermimpi yang menjadi kenyataan apabila TUDM Pangkalan Udara Butterworth dengan berbesar hati untuk menunaikan ‘hasratnya’.

Menerusi perkongsian daripada Friend of Childhood Cancer Northern-M, program ini adalah untuk menyantuni adik Irfan bersama Skuadron 15 TUDM Butterworth.

Menurut pemilik laman Facebook ini memaklumkan bahawa gambar-gambar yang dirakam ini adalah dari lensa kamera petugas TUDM.

“Terima kasih Left Kol Muhamad Hafiz Abu Bakar Komander Skuad 15 atas segala baik budi menunaikan impian adik Irfan Mikael,” ujarnya.

“Terbang tinggi jet pejuang, setinggi itulah impian dan harapan kami agar anak anak kanser yang lain terus kuat melawan kanser.”

Melihat pada foto yang dikongsikan ini, adik Irfan segak bergaya mengenakan pakaian lengkap persalinan ‘flying suit’ sebelum di bawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D.

Adik Irfan Mikhael juga sempat bergambar di samping pesawat pejuang Hawk bersama ahli keluarga dan juruterbang serta kru pesawat.

Melalui perkongsian kisah ini, diharap ia boleh dijadikan satu kekuatan kepada ‘pejuang muda’ yang senasib dengan adik Irfan dalam melawan sakit kanser yang mereka hadapi.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar adik Irfan dan ‘pejuang-pejuang’ seangkatannya yang lain beroleh kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.

BACA: Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor Sahkan Tiada Pengeluaran Ayam Dari Ladang Esok

Sumber: Friend of Childhood Cancer Northern

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang