Siakap Keli

Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor Sahkan Tiada Pengeluaran Ayam Dari Ladang Esok

Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada esok (Sabtu,21 Mei 2022).

Memetik laporan Sinar Harian, Pengeri PPANS, Idrus Zainal mendakwa permasalahan tersebut disebabkan isu bekalan berpunca daripada ayam sakit.

Jelasnya, 7 peratus atau ribuan anak ayam dari reban miliknya mati disebabkan sakit. Malah, kebanyakan penternak lain di Selangor turut berdepan dengan masalah yang sama.

“Saya tidak pasti penternak-penternak lain. Jika ada pengeluaran pun mungkin dalam kuantiti yang tidak banyak,” ujar pada pemberita.

Tambahnya lagi, isu bekalan ayam bukan hanya dihadapi di Malaysia malah di seluruh dunia. Harga bekalan turut melonjak naik termasuklah di China dan Thailand, malah untuk mendapatkan bekalan ayam dengan harga RM6 hingga RM7 sekilogram ketika ini adalah mustahil.

Bukan itu sahaja, penternak-penternak turut dibebani dengan kenaikan kos dedak yang empat kali naik harga dalam tempoh 10 bulan.

Beliau berkata, isu kartel atau sorok bekalan tidak timbul sebaliknya masalah bekalan ayam ini telah dibangkitkan sejak pandemik Covid-19.

Katanya lagi, isu ini pernah dikemukakan kepada kerajaan melalui pertemuan dengan menteri namun beliau mendakwa isu ini tidak diselesaikan secara serius.

Justeru itu, selain terbeban dengan kos koperasi dan hutang bank, mereka berdepan dengan kesukaran untuk memenuhi kehendak rakyat dengan pelbagai tekanan dan peraturan yang dikenakan ke atas penternak. Malah di Selangor, penternak mengalami kesukaran untuk membina reban ayam kerana bermacam-macam syarat dan cukai diletakkan.

“Harga ayam nak murah tapi apa yang kerajaan buat untuk itu?,” soalnya.

Bagaimana pun menurut laporan Sinar, Perbadanan Kemajuan Selangor (PKPS) menafikan dakwaan tiada bekalan ayam pada Sabtu sebalik mengatakan bahawa bekalan ada tetapi kuantiti adalah terhad.

Terdahulu pada Jumaat, pengguna media sosial mendakwa ‘Selangor tiada ayam’ yang memetik sumber dari Pasar Borong Selangor.

Sumber: Sinar Harian

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang