Siakap Keli
Gambar: Footballdevils

Erik Ten Hagg Beri Amaran Buat Pep & Klopp, Dominasi City & Liverpool Bakal Berakhir

Pengendali baharu Manchester United, Erik Ten Hagg melaungkan amaran awal buat dua pesaing utamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL), Pep Guardiola dan Jurgen Klopp berkenaan saingan musim depan biarpun saingan musim ini baru saja berakhir.

”Saya amat mengagumi kedua-dua mereka, Manchester City dan Liverpool. Kedua-dua kelab memperagakan kualiti bola sepak yang sangat mengagumkan.

”Tetapi anda akan melihat dominasi sesuatu era itu akan berakhir dan saya tidak sabar untuk berdepan dengan mereka berdua. Saya pasti, pengendali kelab yang lain juga mahu melakukan perkara yang sama,” katanya.

Katanya lagi, beliau mempunyai resepi tersendiri untuk mencipta kejutan memandangkan sudah mempunyai pengalaman menentang pengurus berpengalaman dan kelab besar dari EPL.

”Namun ia sangat jelas, pada pendapat saya EPL adalah liga terbesar di dunia. Jadi, saya tidak sabar mahu bersaing dengan mereka berdua,” katanya lagi.

Beliau menandatangani kontrak 3 tahun bersama kelab gergasi itu selepas berjaya meraih 3 piala domestik bersama kelab terdahulu, Ajax Amsterdam. Namun begitu, ramai melihat pengendali berusia 52 tahun itu mengambil risiko yang besar dengan menerima tawaran yang dibuat oleh The Red Devils. Tetapi bagi Ten Hagg, jelas beliau mempunyai pandangan yang berbeza.

”Saya tidak melihat adanya sebarang risiko. Kelab ini kelab besar yang kaya dengan sejarah. Tetapi hari ini, kita perlu memandang ke hadapan. Saya teruja untuk melakukannya bersama barisan staff dan kejurulatihan yang baharu.

”Kami akan bekerja dari hari ke hari. 100 peratus. Saya pasti, kami akan melihat hasilnya nanti. Kelab ini ada sejarah yang hebat dan juga masa depan yang cemerlang, kerana itulah saya berada disini.

”Saya belum lagi bercakap dengan pemain-pemain. Mereka perlu masa untuk berehat dan bermuhasabah tetapi saya tidak sabar untuk bertemu dengan mereka dan memulakan kerja kami” ujarnya.

Musim ini dianggap sebagai musim terburuk United di dalam era EPL. Kelab berkenaan meraih mata terendah semusim selepas mengharungi 38 perlawanan dengan hanya mencatatkan 16 kemenangan selain 10 keputusan seri dan 12 kekalahan.

Antara kekalahan-kekalahan besar yang dilalui MU adalah tewas 0-5 dan 4-0 kepada Liverpool, tewas 0-2 dan 4-1 kepada City selain turut menanggung kekalahan memalukan kepada pasukan yang bergelut di Zon Penyingkiran, Watford dengan skor 4-1.

Selain itu, jumlah jaringan dan bolos juga sama iaitu 57 menjadikan o perbezaan jariangan. Ia jauh berbeza berbanding apa yang direkodkan oleh City dan Liverpool iaitu masing-masing 73 dan 68 perbezaan jaringan.

Sumber: ESPN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.