Siakap Keli
maksud 'dimurahkan rezeki'
Gambar: TikTok

Maksud ‘Dimurahkan Rezeki’ Yang Ditukar Kepada ‘Dimahalkan Rezeki’

Bahasa Melayu seperti semua rakyat Malaysia sedia tahu, ia merupakan bahasa rasmi di negara kita. Penguasaan Bahasa Melayu sangat penting untuk dikuasai, lebih-lebih lagi mereka yang lahir dari bangsa bahasa itu sendiri agar ‘pusaka’ nenek moyang kita ini ‘tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan’.

Pada asasnya, setiap perkataan daripada Bahasa Melayu yang mudah sering digunakan sebagai medium kita berkomunikasi sesama manusia setiap hari,  atau bahasa mudahnya adalah ‘bahasa pasar’.

Namun, tidak dinafikan, apa yang biasanya kita kurang faham adalah makna dari sesetengah perkataan atau ayat membawa maksud tersurat dan tersirat yang berbeza hingga timbulnya isu yang bercanggah.

Sebagai contoh, baru-baru ini timbul isu maksud yang bertentangan dari ‘hukum bahasa’ menerusi lirik lagu Melayu yang disalah tafsir oleh seorang individu. Lirik yang berbunyi ‘kan ku sujud di kakimu’ didakwa akan membawa kepada unsur syirik kerana menurutnya, kita hanya perlu sujud pada Tuhan sahaja.

Ia memang betul, namun keindahan bahasa tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai pengguna dan pemilik Bahasa Melayu ini, kita sepatutnya perlu faham bahawa setiap perkataan mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.

Menerusi Tiktok Zhidin Aziz, dia terangkan maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu tersebut yang mungkin ramai orang tidak tahu dan faham. Memetik pendapat dari Zhidin, menurutnya maksud lirik lagu tersebut adalah tanda seseorang memohon maaf dengan rendah diri.

Ikuti penerangan lanjut menerusi perkongsian dari Zhiddin di bawah.

@zhiddinazizz

♬ original sound – zhiddinaziz – zhiddinaziz

Dalam pada itu, Zhidin juga menerusi akaun Tiktok yang sama, dia jelaskan pula isu menukarkan ayat ‘dimurahkan rezeki’ kepada ayat ‘dimahalkan rezeki’. Difahamkan, ‘dimurahkan rezeki’ telah digunakan sejak dahulu lagi oleh nenek moyang kita dan sudah pasti ada maksud di sebalik kata-kata itu. Bak kata Zhiddin, ‘di sebalik kata, ada kata’.

Menerusi Kamus Dewan Edisi Keempat yang dijelaskan olehnya menerusi satu lagi video, rangkai kata ‘murah’ mempunyai banyak maksud, antaranya melimpah ruah, mudah dan banyak. Jadi, benarlah ayat yang diguna pakai oleh nenek moyang kita bahawa ia bermaksud akan diperbanyakan rezeki, melimpah ruah dan sebagainya.

Hal ini sejajar dengan peribahasa yang digunakan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu yang berbunyi, ‘Murah terbelingut, bagai kukuran timah’ yang membawa maksud ‘seseorang yang mudah merajuk’.

Selain itu, terdapat juga peribahasa lain yang berbunyi, ‘Murah di mulut, mahal di timbangan’ yang bermaksud seseorang yang banyak membuat janji tetapi tidak ditepati.

“Jadi, jelaslah ‘semoga dimurahkan rezeki’ membawa maksud semoga dibanyakan rezeki, dimudahkan rezeki. Manakala, ‘dimahalkan rezeki’ pula membawa maksud ‘semoga dikurangkan rezeki?’ atau ‘disukarkan peroleh rezeki?’ ” tegasnya menerusi video tersebut.

Ikuti juga video penjelasan yang lebih terperinci dari Zhiddin yang telah kami sertakan di bawah.

@zhiddinazizz

♬ original sound – zhiddinaziz – zhiddinaziz

Sumber: Zhiddin Azizz (Tiktok)

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.